suria

Bahagiamu Deritaku Juara AJL 28

Selain lagu nyanyiannya berjudul Bahagiamu Derita diangkat sebagai Juara Lagu, Hafiz turut menang kategori persembahan terbaik. -foto TheStar/M AZHAR ARIF
Selain lagu nyanyiannya berjudul Bahagiamu Derita diangkat sebagai Juara Lagu, Hafiz turut menang kategori persembahan terbaik. -foto TheStar/M AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan LY dan lirik oleh Baiduri berjudul Bahagiamu Deritaku dipilih sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Dengan kemenangan lagu yang dinyanyikan oleh Hafiz itu, mereka berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000.

Bahagiamu Deritaku berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Salammusik (Aku Pelat), Black (Takkan Terpisah), Aizat Amdan & Noh Salleh (In Love With You), Hyper Act (Hanya Aku), Stacy (Bosan), Hazama & The Penglipurlara (Penglipur Lara).

Turut bertanding adalah Jaclyn Victor (Ikut Rentakku), Najwa Latif feat Sleeq & Syamkamarul (Sahabat), Azlan & The Typewriter (Tanda Tanya), Alyah (Kau Yang Terindah), dan Awi Rafael & Altimet (Kalau Aku Kaya).

Naib juara AJL 28 menjadi milik lagu Hanya Aku ciptaan Hyper Act dan Frozen dan dinyanyikan oleh Hyper Act sekali gus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.

Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga dimenangi oleh lagu Kalau Aku Kaya ciptaan Omar K, Audi Mok dan Altimet nyanyian Awi Rafael dan Altimet.

Mereka berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.

Penyanyi Jaclyn Victor memecah rekod apabila merampas anugerah Vokal Terbaik daripada Hafiz yang dimenanginya tiga tahun berturut-turut.

Jaclyn membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.

Hafiz bagaimanapun turut memenangi kategori persembahan terbaik menerusi lagu Bahagiamu Deritaku.

Penyanyi itu menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Persembahan 12 finalis AJL 28 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Acis, Ajai, Habsah Hassan, Aubrey Suwito, Ad Samad dan Helen Yap, Taja, Cat Farish dan Edrie Hashim.

Azmeer bertindak sebagai ketua juri pada acara itu.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Hampir tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.

Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 28 memperkenalkan ‘Game On!’ sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.

Pada acara itu juga, Hafiz telah memenangi Anugerah Juara Mobile menerusi lagu Bahagiamu Deritaku yang mendapat muat turun Call Me Tones paling tinggi menerusi The Cube Celcom.

AJL 28 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan penampilan pertama pasangan hos Muzik Muzik 28, AG dan Scha Al-Yahya sebagai hos.

Malam kemuncak AJL 28 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai yang berkonsep ‘battle’ vokal oleh Shila Amzah dan Mus May menerusi lagu Mahakarya Cinta selain tarian oleh Funky Fresh Family.

Manakala segmen interlude pula mengetengahkan muzik hip hop yang menggandingkan penyanyi baharu dan lama antaranya W.A.R.I.S, Zaidi (One Nation Emcees), Ziana Zain, FILSUF, Datuk M. Daud Kilau dan Amy Search.

Acara ‘Purple Carpet’ AJL 28’ yang berlansung sebelum itu dihoskan oleh Aidid Marcello dan Hani Hatim manakala segmen ‘Backstage’ dihoskan oleh Elfira Loy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain