suria

'Saya Bukan Anak Emas TV3' - Faizal Tahir

Barisan peneraju AF 2013. Dari kiri; Melly Goeslaw, Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza.
Barisan peneraju AF 2013. Dari kiri; Melly Goeslaw, Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza.
Barisan peneraju AF 2013. Dari kiri; Melly Goeslaw, Faizal Tahir dan Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Faizal Tahir menegaskan dia tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen termasuk bawah kumpulan Media Prima Berhad.

Faizal, 35, berkata, sejak bergelar artis, dia menerima tawaran daripada pelbagai pihak dan stesen televisyen.

"Saya bukan milik siapa-siapa termasuk TV3. Mana ada wajah saya di mana-mana papan tanda TV3 pun.

"Tiada masalah untuk saya menyertai mana-mana program stesen televisyen. Mungkin sebelum ini saya dilahirkan daripada stesen televisyen tersebut dan rezeki saya banyak di stesen tersebut," katanya kepada mStar Online.

Faizal berkata demikian bagi mengulas dakwaan kononnya dia merupakan anak emas TV3 dan sinonim dengan program-program terbitan saluran televisyen di bawah media Prima Berhad.

Dalam pada itu Faizal yang bakal menjadi salah seorang tenaga pengajar utama dalam Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) menganggap pemilihannya bergandingan dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Melly Goeslow sebagai satu penghormatan besar.

"Sebelum ini saya ada juga terlibat dalam program terbitan Astro namun tidak menjadi tenaga pengajar. Jika dibandingkan dengan Melly dan Datuk Siti, saya paling muda dan baru dalam industri ini dan ia adalah penghormatan buat saya," katanya.

Tambah Faizal, dia mahu bintang yang lahir daripada program realiti itu nanti merupakan seorang yang mampu berhadapan dengan pelbagai tekanan.

"Ketiga-tiga kami mempunyai genre yang berbeza, terpulang kepada peserta bagaimana mereka ingin memilih apa yang mereka mahu.

"Pada saya jika mereka ingin menjadi penyanyi yang baik mereka berjaya melalui pelbagai rintangan ini sehingga ke akhir," katanya.

Bagi format terbaharu AF 2013 ketiga-tiga tenaga pengajar utama ini yang digelar ‘inspirer’ berperanan memberi bimbingan kepada peserta.

Faizal Tahir akan bertanggungjawab pada tiga minggu pertama, kemudian diikuti Melly Goeslow pada tiga minggu berikutnya dan Siti Nurhaliza pada tiga minggu terakhir.

Program AF 2013 akan bermula dengan Galaxy AF pada 2 hingga 5 September depan, diikuti dengan tayangan Prelude Top 24 pada 6 September 2013.

Manakala konsert pertama akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 14 September depan di Astro Ria.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain