suria

Neelofa Terpaksa Tolak Tawaran Berlakon Drama

Neelofa.
Neelofa.
Neelofa.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Neelofa menolak dakwaan kononnya dia enggan lagi berlakon dalam drama bersiri untuk siaran televisyen kerana mahu terlibat dalam produksi filem sahaja.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, sebaliknya berkata, kesibukannya sebagai pengacara beberapa buah program telah menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon drama buat masa ini.

"Komitmen terhadap bidang pengacaraan menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama bersiri kerana ia mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.

"Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi jika tidak dapat hadir pada penggambaran atau tidak berdisiplin kerana sibuk dengan perkara lain," katanya kepada mStar Online.

Selain MeleTOP, Neelofa juga turut mengendalikan program Nona dan sebuah rancangan masakan berjudul Hot Kitchen.

Dalam perkembangan sama, Neelofa berkata, dia agak sibuk menguruskan perniagaannya iaitu Bellavita yang sedang berkembang maju dan mula mendapat perhatian.

Pun begitu buat masa ini dia hanya menerima tawaran berlakon filem sahaja kerana jadual penggambaran yang lebih singkat.

"Jujur minat saya memang lebih kepada pengacaraan tetapi rezeki dalam lakonan itu memang sentiasa ada cuma kekangan masa menuntut saya menumpukan kepada sesuatu perkara sahaja.

"Sudah tentu sekiranya ada kesempatan dan ruang saya mahu berlakon dalam drama bersiri atau telefilem. Buat masa sekarang saya hanya terima tawaran berlakon filem kerana penggambaran tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Sementara itu, Neelofa yang baru sahaja muncul dengan filem Lemak Kampung Santan pada 1 Syawal lalu memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Gangster Superstar arahan Khabar Bhatia.

Artikel Lain