suria

Dj Lin Tidak Harap Lagu Diputarkan Di Radio

Dj Lin
Dj Lin
Dj Lin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin tidak berharap lagu yang dirakam sebagai single pertamanya berjudul Ranting Harapan dimainkan di mana-mana stesen radio termasuk tempat dia bekerja iaitu Suria FM.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, rakaman tersebut dibuat sekadar suka-suka bagi memenuhi permintaan peminatnya.

"Lagu itu saya muatkan dalam album kompilasi Persona Cinta sebagai lagu baru.

"Namun lagu itu tidak disiarkan di radio termasuk Suria FM. Saya tidak mahu timbul isu deejay syok sendiri putar lagu sendiri,

"Tapi kalau ada permintaan tidak tahu lah saya, namun saya tidak berharap, cukuplah ia dapat menjadi hadiah buat peminat," katanya ketika ditemui pada pelancaran single Ranting Kenangan dan album kompilasi Persona Cinta, di sini, Isnin.

Tambah Lin, lagu ciptaan Eddie Hamid itu mengisahkan kisah hidup dan pengorbanan yang dilaluinya dalam mengejar impian.

"Eddie buat lagu ini memang mengikut kisah hidup saya dan pahit maung saya hadapi untuk berada di sini.

"Saya harap peminat dapat menghayati dan suka dengan lagu ibu," katanya.

Bercerita pengalaman merakam album, Lin berkata agak gementar ketika kali pertama berada di studio bagi merakam lagu yang pertama kali didengarnya itu.

"Biasa kalau kita karaoke lagu itu kita sudah tahu tapi ini berbeza, masa dapat lagu dan lirik saya agal gementar.

"Saya ubah sedikit mengikut kesesuaian suara saya, " ujarnya yang merakam single tersebut akhir tahun lalu.

Dalam pada itu, Lin turut mengakui bersedia untuk menerima kritikan dan pandangan daripada masyarakat.

"Apa yang kita lakukan pasti ada pandangan positif dan negatif yang akan kita terima.

"Saya terima jika ada yang akan kritik lagu ini, namun setakat ini maklum balas sangat baik daripada peminat di laman sosial," katanya.

Tambahnya, album tersebut sudah berada di pasaran sejak seminggu lalu.

Selain lagu tersebut, album Persona Cinta turut memuatkan lagu-lagu popular era 90-an yang sering disiarkan di segmen Suria Cinta, Suria FM seperti Salju Di Danau Rindu, Rahsia Pohon Cemara, Hari Hari Aku Rindu dan Di Alam Fana Cinta.

Album Persona Cinta boleh didapati dengan harga RM 25.50.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain