suria

Ibu Catriona Ross Maut Nahas Kereta - Bas

Catriona Ross.
Catriona Ross.
Catriona Ross.

PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Catriona Ross iaitu Siti Zawiyah Ab Rahman, 63, meninggal dunia apabila kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur-Barat di Gerik, Perak awal pagi Rabu.

Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu dan akan sentiasa merindui Allahyarham.

"Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergian Allahyarham kerana nahas jalan raya tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi.

"Saya akan sentiasa merinduinya," katanya seperti dipetik dalam laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Catriona turut meminta semua umat Islam agar menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh ibunya itu.

Dalam status Facebook miliknya itu juga Catriona turut memaklumkan jenazah ibunya dikebumikan di kampung halamannya di Kota Baharu, Kelantan pada Rabu.

Pihak mStar Online gagal mendapatkan Catriona kerana panggilan telefon tidak dijawab mungkin kerana masih sibuk dengan urusan pengebumian jenazah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Manab Baharum berkata, Siti Zawiyah merupakan antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan berkenaan.

Dua lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada kira-kira 1 pagi itu ialah Sitah Abdullah, 53, dan Norini Abdul Ghani, 43.

Abdul Manab berkata ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu, Mustapa Che Su, 54, cedera parah dan dirawat di Hospital Taiping.

"Kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa cuba memotong deretan kereta dan bertembung dengan bas yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas ke dalam longkang berhampiran," katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata kereta berkenaan dalam perjalanan dari Jeli ke arah Gerik manakala kesemua 29 penumpang bas tidak cedera.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain