suria

Farina (AF8) Serik Tuduhan Cintai Suami Orang

Farina tidak berani bercerita mengenai kisah peribadi selepas kontroversi yang mendakwa dia menjalin hubungan dengan suami orang kecoh diperkatakan. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Farina tidak berani bercerita mengenai kisah peribadi selepas kontroversi yang mendakwa dia menjalin hubungan dengan suami orang kecoh diperkatakan. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Farina tidak berani bercerita mengenai kisah peribadi selepas kontroversi yang mendakwa dia menjalin hubungan dengan suami orang kecoh diperkatakan. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN

PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Farina mengakui berasa serik untuk berkongsi kisah peribadinya ekoran kontroversi kononnya dia menjalin hubungan dengan suami orang kecoh diperkatakan sebelum ini.

Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, 30, berkata, tuduhan yang mengatakan dia bakal berkahwin dengan anak pengasas sebuah produk kecantikan adalah sesuatu yang tidak berasas.

"Kontroversi yang mengaitkan saya dengan lelaki tersebut sebelum ini membuatkan saya ambil pendekatan berdiam diri dan mengunci mulut.

"Saya tidak berani lagi bercerita mengenai perkara peribadi kerana ia mengundang salah faham dan menggores hati banyak pihak," katanya.

Penyanyi lagu Hujung Minggu Ini itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran eMall Karangkraf di Mutiara Damansara di sini, petang Selasa.

Menerusi artikel mStar Online bertarikh 28 Februari lalu, Farina menafikan dakwaan kononnya dia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan itu dan menyifatkan hubungan mereka sekadar teman biasa.

Ditanya adakah dia masih berkawan dengan anak lelaki tersebut Farina berkata mereka ada berhubung tetapi sudah jarang bertemu.

"Kami masih kawan tetapi tiada apa-apa yang lebih seperti didakwa. Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu dan saya tidak boleh komen.

"Siapa pun jodoh saya nanti, doakanlah yang terbaik. Kalau tertulis saya bertemu jodoh dengan suami orang, saya rela bermadu," kata ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan Dayang Hasya Yasmin yang berusia 10 tahun.

Mengenai kerjaya seni, Farina berkata, dia masih aktif memenuhi undangan nyanyian syarikat-syarikat korporat terutamanya di negeri asalnya di Sarawak sehingga kini.

"Tawaran nyanyian masih ada. Dalam dua atau tiga kali sebulan saya pasti berulang-alik ke kampung di Sarawak untuk memenuhi undangan nyanyian.

"Malah, tidak lama lagi saya akan memulakan rakaman lagu terbaharu berjudul Bukan Hatiku untuk dikeluarkan pada awal 2013," katanya yang baru menamatkan penggambaran drama bersiri The Exact List untuk saluran Unifi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain