suria

Artis K-Pop Di 'Shout! Awards 2012' Atas Pilihan Penonton

Barisan mereka yang terlibat dalam Shout! Awards 2012. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Barisan mereka yang terlibat dalam Shout! Awards 2012. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Barisan mereka yang terlibat dalam Shout! Awards 2012. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur Shout! Awards 2012 menjelaskan penampilan dua artis K-Pop yang diterbangkan khas dari Korea Selatan untuk mengadakan persembahan pada majlis anugerah itu dibuat berdasarkan pemilihan peminat.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan NTV7, Airin Zainul berkata, pihaknya telah melakukan kaji selidik dan menyenaraikan beberapa nama besar sebelum memutuskan untuk menampilkan kumpulan Nu'Est dan Vixx ke acara itu nanti.

"K-Pop adalah undian tertinggi peminat dalam kaji selidik yang kami jalankan menerusi media sosial malah kami turut menilai setiap cadangan yang diberikan.

"Pemilihan Nu'Est dan Vixx juga berdasrkan daripada cadangan yang diberikan kepada pihak penganjur," ujarnya kepada mStar Online selepas sidang media pengumuman pengacara, persembahan dan penampilan artis luar negara yang diadakan di sini pada Rabu.

Shout! Awards 2012 bakal berlangsung di Surf Beach @ Sunway Laggon pada 23 November depan pada pukul 8.30 malam.

Siaran langsung acara itu akan disiarkan menerusi saluran 8TV.

Dalam pada itu, Airin memberitahu, pada tahun ni juga Shout! Awards menampilkan kelainan dengan mengadakan sebuah pentas khas iaitu 'Discovery Stage' yang memberi peluang kepada bakat-bakat baru membuat persembahan bagi memperkenalkan muzik mereka kepada penonton.

Menurut Airin, walaupun mereka masih belum dikenali oleh peminat tetapi beliau melihat majlis itu sebagai platform kepada mereka untuk memperkenalkan diri.

"Yuna sendiri semasa membuat persembahan di Shout! Awards masih belum dikenali tetapi lihat di mana dia berada sekarang? Kita tidak tahu bakat-bakat baru ini barangkali dapat menarik minat penonton," katanya.

Antara nama-nama baru yang bakal menghiasi pentas tersebut adalah Meliha Faisal, The Aggrobeats, Tres Empre, Man Under Zero Effort, Rosevelt, Wanted Symphony, DJ Bing dan Salam Muzik.

Majlis itu akan diserikan dengan persembahan artis-artis terkenal antaranya Yuna, Altimet, Ze!, Darren Ashley, Liyana Fizi, Go Gerila! dan Diandra Junaidi.

Ia akan dihoskan oleh Henry Golding, Hannah Tan dan Razif Hashim.

Manakala artis seperti Amy (Search), Redza Minhat, Izara Aishah, Jason Lo, Patricia K, Sazzy Falak, Reshmonu, Serena C, Atilia, Sharifah Amani, Yasmin Hani, Marsha Milah Londoh, Farid Kamil dan Bunkface bakal menyerikan malam itu sebagai penyampai anugerah.

Sementara itu, Airin berkata, menarik mengenai penganjuran anugerah tahun ini apabila sebuah program khas akan disiarkan sehari sebelum acara berkenaan iaitu 'The Show Before The Shout! Awards’.

Ia akan disiarkan pada hari Khamis, 22 November depan pada pukul 9.30 malam di 8TV.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain