suria

Karya Filem Diolah Untuk Elak Aib Zaiton Sameon

Aktres Nadia Aqilah sebagai Zaiton Sameon dalam filem biografi penyanyi popular itu, Zaiton Ceritaku
Aktres Nadia Aqilah sebagai Zaiton Sameon dalam filem biografi penyanyi popular itu, Zaiton Ceritaku
Aktres Nadia Aqilah sebagai Zaiton Sameon dalam filem biografi penyanyi popular itu, Zaiton Ceritaku

PETALING JAYA: Sebahagian fakta sebenar kehidupan penyanyi popular 80-an iaitu Zaiton Sameon terpaksa dipinda dalam filem biografi berjudul Zaiton Ceritaku semata-mata mahu menjaga sensitiviti dan aib penyanyi itu dan keluarganya.

Penerbit Eksekutif Bruang Filem Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, beberapa olahan terhadap kejadian sebenar Zaiton dilakukan bagi menjaga sensitiviti individu lain.

“Kita bukan masyarakat Barat yang boleh paparkan kisah sebenar orang lain sesuka hati tanpa menjaga aspek sensitiviti mereka. Sebagai orang Asia, kita ada budaya dan norma yang kita perlu kita pegang dalam melakukan apa-apa perkara.

“Walaupun filem ini adalah berdasarkan kisah sebenar, kita perlu jaga aib dan hormati perkara-perkara sensitif Zaiton. Sebab itu, beberapa pindaan terhadap fakta sebenar kehidupannya perlu dilakukan,” katanya.

Burhanuddin berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan untuk media filem arahan Esma Daniel itu di sini, petang Selasa.

Turut hadir para pelakonnya Nadia Aqilah, Sahronizam Noor, Karl Shafek, Arash Mohamad, Norlia Ghani dan Fazlina Ahmad Daud.

Menyambung perbualan, Burhanuddin berkata, pihaknya juga tidak gentar jika ada pihak yang mendakwa terdapat beberapa plot yang tidak bertepatan dengan kisah sebenar penyanyi tersebut.

“Kami tidak gentar atau takut dengan dakwaan yang mengatakan filem ini tidak ikut sepenuhnya cerita sebenar Zaiton. Penceritaan perlu diperkemas agar ia tidak terlalu telus dan langsung yang mungkin akan menyinggung pihak tertentu.

“Apa yang hendak dipaparkan menerusi filem ini adalah perkongsian kisah hidup Zaiton. Jadi adalah lebih baik jika ia dikupas daripada aspek positif yang boleh memartabatkannya dan, bukan menghakiminya menerusi kisah silam,” kata Burhanuddin.

Dalam pada itu, pengarahnya Esma Daniel berkata, paparan dan perjalanan filem itu tidak boleh begitu mendalam dan terperinci demi menghormati hak penyanyi tersebut.

“Saya perlu berlaku adil dan menghormati hak Zaiton. Saya faham pasti ada yang menganggap penceritaannya hanya di permukaan dan tidak terperinci, namun jika kita paparkan setiap butiran sebenar kisahnya, ia tentu mengundang pelbagai respons dan menyinggung mana-mana pihak yang berkaitan dengan hidupnya.

“Dia tidak mahu kisah mengenai keluarga ditonjolkan secara mendalam kerana konflik yang berlaku sebelum ini, jadi kami perlu hormati hak itu.

“Matlamat penghasilan filem ini pun bukan untuk kita kupas secara terperinci mengenai kesilapan atau kekurangan yang pernah terjadi dalam hidupnya tetapi untuk menunjukkan cerita Zaiton daripada perspektifnya sendiri,” katanya yang julung kali bergelar pengarah.

Zaiton Ceritaku berkisar mengenai liku-liku kehidupan dilalui penyanyi lagu Menaruh Harapan itu selepas dia ditimpa kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggalnya Irwan pada 21 Februari 1990.

Ia memaparkan pahit getir kehidupannya yang berdepan trauma akibat kemalangan itu sehingga banyak pihak menganggapnya tidak siuman.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 1 November depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain