suria

Yantzen Amalkan Berenang Untuk Stamina

Yantzen kekal cergas dengan senaman renang.
Yantzen kekal cergas dengan senaman renang.
Yantzen kekal cergas dengan senaman renang.

PETALING JAYA: Penyanyi rock Yantzen berasa risau dengan tabiat pemakanan masyarakat ketika ini yang sering terdedah kepada makanan tidak berkhasiat selain tidak mengutamakan kesihatan diri.

Justeru itu, Yantzen atau nama sebenarnya Yantzen Juniwan, 54, menyarankan aktiviti berenang adalah senaman yang paling mudah diamalkan bagi memberi kekuatan dan sistem imun badan.

"Kebanyakan masyarakat kita tidak endah dengan penjagaan kesihatan dalaman mereka. Jadi saya sekadar ingin berkongsi tip mudah iaitu berenang.

"Ia adalah antara senaman yang sangat senang dan pada masa sama tidak akan mencederakan mana-mana anggota badan, tidak seperti joging. Malah ia sangat bagus melancarkan pernafasan kita," katanya.

Tambah vokalis kumpulan Rusty Blade itu, senaman itu juga adalah salah satu tip buat dirinya agar sentiasa cergas dan bertenaga ketika membuat persembahan pentas.

Malah, sebagai persiapan mengadakan persembahan Konsert Malaysia Rock Fest 2012 (MRF2012) yang bakal berlangsung 20 Oktober ini, dia akan memastikan mempunyai stamina yang cukup dengan berenang.

Selain Rusty Blade, konsert tersebut akan melibatkan kumpulan rock legenda lain iaitu Wings, XPDC, May dan Lefthanded.

Bercerita mengenai konsert itu, Yantzen akan muncul dengan kumpulannya selepas 20 tahun tidak membuat persembahan bersama.

Yantzen berkata, persembahan Rusty Blade menerusi konsert itu adalah sebagai tanda kemunculan semula untuk kembali mewarnai persada seni muzik tempatan.

"Sebenarnya, kami masih lagi wujud dan tidak berpecah. Cuma masing-masing sibuk dengan kerja sendiri menampakkan seolah-olah Rusty Blade sudah hapus.

"Bagaimanapun, kali ini, kami benar-benar kembali dengan kemunculan semula menerusi MRF2012 dan akan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

MRF2012 anjuran Red On Black Sdn Bhd diadakan bersempena Grand Prix Motosikal (Moto GP 2012).

Tiket berharga RM88 boleh didapati menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 dan 019-2111600. Ia juga boleh didapati di semua cawangan Rock Corner dan Tbreak Cafe.

Artikel Sebelum

Artikel Lain