suria

Sheera Iskandar Sudah Sedia Dirikan Rumah Tangga

Sheera sudah bersedia bergelar isteri.
Sheera sudah bersedia bergelar isteri.
Sheera sudah bersedia bergelar isteri.

PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dan mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Syan sudah lima tahun bercinta dan sudah tiba masanya mereka melangkah setapak lagi dalam perhubungan mereka.

"Hampir lima tahun saya dan Syan bercinta, saya cukup selesa bersamanya dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan sesuatu yang indah.

"Umur saya sekarang 27 tahun dan Syan 28 tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menamatkan zaman bujang dan melangkah ke alam perkahwinan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sheera memberitahu kekasihnya itu belum melamarnya sebagai isteri tetapi mereka ada berbincang mengenai perkahwinan impian mereka.

Tambah Sheera Syan bukan seorang yang romantik namun senang dengan cara kekasihnya itu yang sering berada di sisinya ketika dia memerlukan.

"Memang dia tidak romantik tetapi dia sering menunjukkan rasa kasih dan sayang dengan cara berbeza. Itu menyenangkan saya.

"Walaupun dia belum melamar saya tetapi kami sering berbual mengenai perkahwinan dan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan, Insya Allah," katanya.

Tambah Sheera, dia bagaimanapun tidak mahu menekan soal perkahwinan terhadap kekasihnya itu kerana dia baru sahaja menamatkan pengajian dan membina kerjaya sebagai kontraktor.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kerjaya seninya, Sheera memberitahu sepanjang Syawal dia akan berehat sebelum kembali ke beberapa lokasi penggambaran drama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain