suria

Noniswara Sebak Tiap Kali Kenangkan Arwah Ibu

PETALING JAYA: Dramatis Noniswara sebak apabila sambutan Syawal yang dilaluinya setiap tahun diiringi perasaan rindu terhadap arwah ibunya Noor Inim Ahmad yang meninggal dunia akibat kanser payudara tiga tahun lalu.

Noniswara atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 43, berkata, dia masih teringat bagaimana sibuknya dia bersama ibu menyiapkan juadah untuk meraikan sambutan Aidilfitri.

"Sebelum arwah ibu meninggal dunia, saya tidak pernah melepaskan peluang beraya bersamanya dan memandangkan saya merupakan anak sulung daripada lima beradik, hubungan kami sememangnya rapat.

"Saya masih ingat lagi bagaimana bersungguh-sungguhnya kami menyiapkan makanan bersama-sama. Ibu sememangnya seorang yang pandai memasak terutamanya nasi dagang.

"Malah ibu juga akan memastikan meja makan dipenuhi dengan hidangan yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Noniswara berkata, dia tidak lagi pulang ke kampungnya di Kelantan selepas pemergian ibu dan ayahnya, Baharudin Yunus (meninggal dunia pada 2006) dan hanya beraya di Kuala Lumpur di samping suami dan anak-anak.

"Sekarang ini, sambutan Aidilfitri diberi fokus lebih kepada anak-anak yang teruja menyambutnya. Walaupun keseronokan Aidilfitri saya tidak lagi seperti dahulu, tetapi saya akan memastikan anak-anak dapat merasai nikmatnya.

"Biasalah budak-budak, mereka mahu menikmati Hari Raya selama sebulan, sebagaimana mereka berpuasa selama sebulan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain