suria

Dilihat Ketinggalan, Pierre Andre Tidak Tergugat

Pierre Andre
Pierre Andre
Pierre Andre

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Pierre Andre tidak tergugat dengan rakan pengarah seangkatannya apabila dia dilihat agak ketinggalan dalam industri perfileman tempatan.

Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 27, berkata, dia selesa dengan cara kerjanya walaupun dianggap senyap dalam industri selain semakin kurang bergiat aktif dalam pembikinan filem.

"Saya masih lagi aktif dan seperti semua sedia maklum, karya terbaru saya, Aku, Kau dan Dia sedang ditayangkan di panggung.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya belum rasa tergugat walaupun ada yang menganggap saya jauh ketinggalan berbanding dengan pengarah seangkatan yang lain.

"Cuma saya selesa dengan cara kerja yang lebih senyap. Ibaratnya seperti diam-diam berisi," katanya.

Tambah anak kepada pelakon Khatijah Tan ini, walaupun mengakui ada segelintir pihak memandang rendah dengan kemampuannya berkarya, namun dia tidak ambil kisah dengan hal tersebut, dan yakin pada setiap karya yang dihasilkan.

Dalam pada itu, Pierre juga berpendapat, kejayaan seseorang pengarah bukan terletak kepada jumlah kutipan filem yang diterima, sebaliknya kualiti pembikinannya yang harus dinilai.

"Biarlah apa orang nak cakap, yang penting saya percaya filem yang mempunyai hasil kutipan yang besar tidak bermakna ianya karya yang bagus," tuturnya.

Filem Aku, Kau dan Dia yang masih lagi sedang ditayangkan sejak 28 Jun lalu dibarisi pelakon Zarina Jamalullail (Mia), Remy Ishak (Izlan) dan Pekin Ibrahim (Ilhan).

Ia mengisahkan tentang harapan seorang gadis bernama Mia yang kehilangan tunangnya Ilhan yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.

Mia pula mengalami kemalangan dan koma selama 2 minggu. Kemudian dia mula berkenalan dengan Izlan, seorang pemuzik jalanan dan mula semakin rapat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain