suria

Risau Ayu Hilang Selepas Nurul Jadi Isteri

Ayu Nazirah (tengah) di samping ibunya penyanyi Nurul Wahab dan bapa tiri Eric Depp pada majlis pernikahan mereka di Duchess Place di sini, Rabu. - Foto oleh LIM CHENG KIAT
Ayu Nazirah (tengah) di samping ibunya penyanyi Nurul Wahab dan bapa tiri Eric Depp pada majlis pernikahan mereka di Duchess Place di sini, Rabu. - Foto oleh LIM CHENG KIAT
Ayu Nazirah (tengah) di samping ibunya penyanyi Nurul Wahab dan bapa tiri Eric Depp pada majlis pernikahan mereka di Duchess Place di sini, Rabu. - Foto oleh LIM CHENG KIAT

KUALA LUMPUR: Anak tunggal kepada penyanyi Nurul Wahab iaitu Ayu Nazirah melahirkan perasaan gembira terhadap perkahwinan kedua ibunya dengan lelaki berbangsa Perancis, Eric Daniel Depp yang berlangsung pada Rabu.

Menurut remaja berusia 14 tahun ini, dia berasa teruja dan bersyukur apabila mendapat tahu hasrat ibunya untuk berumah tangga semula kerana ia tidak membuatkan ibunya berasa sunyi.

“Saya langsung tidak risau jika mama berkahwin lain. Malah, saya sangat teruja dan gembira sehingga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Saya bersekolah di asrama penuh jadi saya risau setiap kali berjauhan dengan ibu dia akan berseorangan. Kini saya berasa senang untuk lepaskan mama kepada lelaki yang saya percayai,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, Rabu.

Ditanya mengenai bapa tirinya itu, Ayu berkata sikap penyayang duda berusia 47 tahun itu membuatkan mereka mudah serasi.

“Saya sudah anggap daddy seperti bapa sendiri dan tidak rasa seperti bapa tiri. Dia seorang yang penyayang dan bijak mengimbangi kasihnya kepada mama dan saya,” katanya yang sedang giat mempelajari kursus bahasa Perancis sebagai bahasa ketiganya.

Ketika diusik adakah dia akan mengikuti ibu bapanya itu sekiranya mereka berhasrat untuk berpindah ke Bali, Indonesia kelak seperti yang diumumkan dalam ucapan perkahwinan tersebut, Ayu tidak keberatan untuk turut serta.

“Saya tiada masalah jika mereka (ibu bapa) berpindah ke Bali, Indonesia. Malah, saya memang memasang impian untuk mengembara dan belajar perkara-perkara baru dalam kehidupan,” kata pelajar Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor ini.

Ayu adalah anak tunggal hasil perkahwinan Nurul dan bekas suami iaitu komposer Mohd Faizal Maas (Ajai).

Pasangan yang berkahwin pada 25 Disember 1996 itu bercerai selepas 11 tahun hidup bersama.

Artikel Lain