suria

Festival Muzik KL 2012 Angkat Dikir Barat

KUALA LUMPUR: Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL) anjuran Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) tampil dengan kelainan pada kali ini dengan mengangkat empat pengisian yang berteraskan khazanah seni Malaysia pada 1 dan 2 Julai depan.

Penganjuran untuk tahun keenam ini merangkumi Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! di Istana Budaya, Dir... Koir Kebangsaan (Auditorium DBKL), Asean Traditional Music Camp (Pusat Pelancongan Malaysia) dan KL Indie Music Fest.

Menurut Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli, dikir barat dipilih sebagai tema utama pada tahun ini kerana nilai dan kesesuaian muzik itu pada semua jenis acara dan majlis.

"Dikir barat menyatukan semua orang menerusi alunan dan stail muziknya yang meriah dan menghiburkan.

"Kita mahu memartabatkan khazanah muzik Malaysia kerana nilainya yang bertaraf global itu adalah berasal dari salah sebuah negeri di negara kita iaitu Kelantan," katanya.

Norliza ditemui pada sidang media pelancaran festival itu di sini, petang Khamis.

Katanya, bagi memeriahkan acara, seramai 22 artis terkenal antaranya Ziana Zain, Awie, Jamal Abdillah dan Noraniza Idris bakal terlibat dalam program dikir barat pada 1 dan 2 Julai yang bertemakan Dari Desa ke Istana itu.

"Kita akan paparkan empat konsep dikir barat iaitu dikir tradisional, dikir berbilang kaum, dikir generasi muda dan dikir blues dan raggae.

"Di sini kita mahu tunjukkan dikir boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian dan perubahan arus waktu," katanya.

Menyusul selepas itu adalah persembahan koir Dir oleh Koir Kebangsaan di bawah pimpinan penyanyi dan guru vokal Syafinaz Selamat.

Ia akan diadakan pada 7 dan 8 Julai di Auditorium DBKL.

ASEAN Traditional Music Camp (ATMC) pula diadakan pada 11 hingga 15 Julai di Pusat Pelancongan Malaysia.

Sementara KL Indie Music Fest yang menawarkan pesta muzik kepada muda mudi pula menampilkan 15 kumpulan bebas baru dan lama.

Ia akan berlangsung pada 8 Julai di lokasi yang akan diumumkan kelak.

Maklumat lanjut mengenai festival dan tiket boleh didapati dengan melayari laman www.klfestival.org.my bermula 1 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain