suria

Yuna Utamakan Bidang Muzik Berbanding Jadi Duta Produk

Yuna. Foto LOW LAY PHON
Yuna. Foto LOW LAY PHON
Yuna. Foto LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Penyanyi Yuna atau Yunalis Zarai tetap akan memberikan keutamaan kepada bidang nyanyian walaupun banyak menerima pelawaan untuk menjadi duta produk.

Yuna, 26, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah melihat perkara itu sebagai masalah kerana tawaran yang datang sentiasa seiring dengan perjalanan karier seninya.

"Semua produk yang diwakili saya langsung tidak mengalih perhatian saya kerana sebelum membuat keputusan itu, saya turut mengambil kira tentang kerjaya nyanyian.

"Sebagai contoh menjadi duta produk Canon, memberi peluang kepada saya untuk merakamkan perkara menarik dalam hidup saya kerana saya sendiri meminati bidang fotografi.

"Saya percaya pada satu tahap yang lain ia turut memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat keseluruhan," ujarnya kepada mStar Online pada majlis Inspirasi Selebriti Macy di sini, pada Selasa.

Tambah Yuna, dia juga bersetuju untuk mewakili sesuatu produk yang ditawarkan kerana mereka tidak menitikberatkan soal rupa paras tetapi menghargai kualiti lain yang ada pada dirinya.

Dalam pada itu, Yuna turut memberitahu pihak pengurusannya di Amerika Syarikat tidak membantah penglibatannya menjadi duta produk di negara ini.

"Jika ia berkaitan dengan kerjaya saya di Amerika mereka berhak untuk masuk campur tetapi tidak aktiviti di Malaysia dan ia telah dipersetujui sejak awal lagi.

"Jadi tidak timbul sebarang masalah jika saya mewakili sesuatu produk atau ingin mengeluarkan album di negara saya sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Yuna berkata, dia sangat gembira apabila album pertamanya di negara berkenaan telah dilancarkan dan terharu dengan penerimaan peminat.

Jadualnya juga cukup padat untuk mempromosikan album terbarunya itu dan bakal menjelajah ke seluruh Amerika Syarikat pada bulan depan.

"Bayangkan setiap negeri di Amerika ada 10 stesen radio berbeza dan rangka promosi yang diaturkan sangat padat tetapi ia memberi pengalaman baru buat saya.

"Saya kembali ke Malaysia pun untuk tempoh yang singkat dan akan kembali ke sana dalam masa terdekat untuk konsert jelajah," ujarnya.

Mengulas kemunculannya dalam program Conan Show di negara berkenaan baru-baru ini, Yuna memberitahu dia sangat gementar namun berjaya melakukannya selepas memikirkan peminatnya di tanah air.

"Saya tahu mereka akan menonton dan mahu buat semua orang di Malaysia bangga dengan saya tetapi gementar dalam hati hanya Allah yang tahu.

"Saya juga amat berharap album ini akan dilancarkan di Malaysia untuk peminat saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain