suria

Kat Hassan Tidak Yakin Jadi Penyanyi

Kat pernah mengalami kemurungan kerana tidak yakin untuk menjadi penyanyi profesional. - Foto oleh ROHAIZAT MD DARUS
Kat pernah mengalami kemurungan kerana tidak yakin untuk menjadi penyanyi profesional. - Foto oleh ROHAIZAT MD DARUS
Kat pernah mengalami kemurungan kerana tidak yakin untuk menjadi penyanyi profesional. - Foto oleh ROHAIZAT MD DARUS

KUALA LUMPUR: Penyanyi Kat Hassan mengakui pernah mengalami kemurungan kerana tidak yakin untuk memulakan kerjaya nyanyian selepas menyertai program Mentor musim kedua pada 2006.

Kat atau nama sebenarnya Siti Khatijah Hassan, 25, berkata kekecewaan itu timbul kerana dia berasakan seolah-olah tidak mempunyai peluang untuk bergelar artis rakaman.

"Tiga tahun pertama selepas saya menyertai Mentor 2 adalah tempoh yang menyakitkan. Saya murung dan sedih kerana berasa seperti tiada harapan untuk berkembang sebagai penyanyi profesional.

"Ketika itu saya pernah terfikir apa yang patut dilakukan untuk maju ke hadapan namun saya buntu untuk memulakan kerjaya," katanya kepada mStar Online.

Kat berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran album pertamanya berjudul Menggoda di Hard Rock Cafe, di sini, petang Selasa.

Tambah Kat, dia bagaimanapun berterima kasih kepada keluarganya atas sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap potensi dirinya.

"Saya bersyukur kerana ibu bapa, kakak saya iaitu Nourish dan abang ipar Amy (Search) sentiasa memberikan semangat untuk saya terus berusaha mencapai impian bergelar penyanyi.

"Daripada situ saya berusaha mengumpulkan wang dengan berlakon dan menerima sebanyak mungkin persembahan pentas untuk menerbitkan album sendiri," kongsinya.

Bercerita mengenai album yang mengambil masa selama enam tahun untuk dihasilkan ini, Kat berkata proses tersebut memakan masa yang lama kerana faktor kewangan.

"Saya perlu mengumpulkan duit untuk menerbitkan album sendiri. Sebab itu selama enam tahun saya sepi daripada publisiti kerana sibuk dengan lakonan dan persembahan pentas di merata tempat.

"Untuk album ini, saya perlu kumpulkan lagu-lagunya secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.

"Ia mengambil masa yang lama kerana saya mahukan sebuah album yang terbaik dan istimewa, berbaloi dengan penantian peminat," ujarnya.

Album terbitan syarikat produksinya sendiri, Kath Entertainment ini memuatkan lima buah lagu iaitu Chiki, Hilang, Menggoda, Senjakala dan Lepaskan.

Turut disertakan adalah cakera digital versatil (DVD) yang mengandungi klip video Chiki dan Hilang.

Album ini sudah berada di pasaran sejak 17 April lalu edaran Warner Music Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain