suria

Lelaki Muda Bukan Pilihan Cinta Stacy

Stacy
Stacy
Stacy

PETALING JAYA: Penyanyi remaja Stacy meminta agar para peminat tidak menyalahertikan keintimannya dengan anggota kumpuan VIP iaitu Fadlan Hazim Anuwar (Fadlan) dengan menganggap mereka sebagai pasangan kekasih.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, berkata pada hakikatnya mereka hanya akrab sebagai sahabat kerana sudah saling mengenali sejak beberapa tahun lalu.

“Memang saya rapat dengan Fadlan. Secara kebetulan tiga anggota lain kumpulan tersebut iaitu Adam, Marlon dan Yandy berasal dari Sabah, maka sebab itu kami menjadi rapat dan serasi.

“Boleh tanya kepada anggota VIP yang lain kami rapat macam adik-beradik tetapi tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang digembar-gemburkan,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Stacy menambah, dakwaan yang mengatakan dia bercinta dengan jejaka berusia 20 tahun itu adalah tidak logik kerana secara peribadinya dia lebih selesa menjalin hubungan dengan lelaki lebih matang.

“Dia terlalu muda untuk saya seperti pangkat adik. Kalau pun saya hendak bercinta, biarlah lelaki itu lebih tua. Paling tidak pun biarlah lebih tua setahun dua daripada saya.

“Terus-terang, saya kurang berminat dengan lelaki yang lebih muda,” jelasnya sambil menolak tuduhan kononnya Fadlan dikatakan punca hubungannya dengan Akim berakhir.

Dalam perkembangan lain, Stacy berkata penglibatan dalam program Mania (Astro Ria) sejak lebih sebulan lalu membantu perkembangan kerjayanya apabila dia berpeluang untuk merakamkan lagu dengan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

Katanya, lagu duet bersama penyanyi baru Indonesia, Alexa Key berjudul Kimia Di Antara Kita itu sudah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada hujung Mac lalu.

“Lagu itu berentak pertengahan, tidak terlalu rancak atau perlahan. Ia sebuah komposisi yang segar dan berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya rakam sebelum ini.

“Saya difahamkan lagu itu akan dimuatkan dalam projek album khas Ahmad Dhani iaitu Antara Kuala Lumpur dan Jakarta dan akan dipasarkan pada tahun depan,” kongsinya.

Artikel Sebelum

Ogy Selesa Hidup Solo

Artikel Lain