suria

Rashid Sibir Jawab Kritikan 'Tanah Kubur'

Rashid Sibir
Rashid Sibir
Rashid Sibir

PETALING JAYA: Pengarah drama Tanah Kubur, Rashid Sibir menepis tuduhan pembikinan drama bersiri itu menakut-nakutkan orang ramai apabila memaparkan musibah yang melanda individu tertentu yang berhadapan dengan saat kematian.

Rashid berkata, drama itu sebenarnya memberi pengajaran kepada mereka yang hidup supaya tidak berbuat jahat di dunia sekiranya tidak mahu mati dalam keadaan terseksa.

“Sila pandang drama ini daripada sudut positif. Macam mana kita nak ajar penonton berbuat baik jika kita tidak tunjuk kejahatan sehingga diberi musibah di dunia.

“Drama ini konsepnya ialah kisah mengenai individu yang mati tanpa sempat bertaubat. Ia memberi pengajaran berguna kepada penonton,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

Rashid diminta mengulas beberapa komen yang diluahkan pembaca menerusi akhbar Utusan Malaysia sejak minggu lalu yang mendakwa drama itu memaparkan imej buruk tentang Islam apabila memaparkan musibah kepada mereka yang melakukan kesilapan.

Drama bersiri itu disiarkan sejak Mac lalu menerusi saluran Astro Oasis pada setiap hari Jumaat, pukul 7.30 malam selama setengah jam.

Rashid yang juga penerbit syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd berkata, drama tersebut dibuat bersandarkan kepada kisah-kisah benar dan pengalaman sahabat Nabi Muhammad SAW yang pernah diceritakan dalam hadis.

Sebagai contoh kata Rashid bagaimana seorang sahabat yang melalui sebuah tanah perkubuan dan terdengar mayat menjerit meminta tolong kerana mulut dibakar dengan api.

Katanya apabila sahabat itu bertanya kepada Rasullulah, baginda menjawab ia adalah balasan Allah akibat perbuatannya di dunia.

Berdasarkan kepada contoh itu kata Rashid, tidak salah pihaknya menerbitkan drama tersebut agar ia boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya menjauhi perkara-perkara buruk supaya tidak diseksa di akhirat kelak.

“Allah memberi balasan kepada manusia untuk dijadikan panduan. Kalau tidak, manusia akan terus melakukan keburukan sekiranya tidak ada kejadian yang boleh dijadikan contoh. Ini yang kami terapkan,” katanya.

Ditanya mengenai pendapat Tanah Kubur akan membuatkan bukan Islam menjadi takut kepada Islam, Rashid berkata, masyarakat bukan Islam harus faham bahawa agama Islam itu suci, murni yang mengajar umatnya agar tidak melakukan kemungkaran ketika di dunia.

Katanya, jika seseorang yang mahu menganut agama itu hendaklah bersih daripada sifat buruk kerana musibahnya akan diperoleh oleh mereka yang melakukan kesilapan.

“Kita hanya boleh tunjuk apa yang berlaku di dunia ini sahaja iaitu keburukan akan mendapat balasan. Kita tak tahu balasan di akhirat itu macam mana bentuknya? Jadi kita tak boleh nak gambarkan dalam bentuk visual,” katanya yang menjelaskan drama ini mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambahnya, sejak drama berkenaan di siarkan, pihaknya mendapat respons positif daripada semua pihak termasuklah imam-iman masjid yang menjelaskan banyak pengajaran diperolehi masyarakat apabila menontonnya.

Populariti drama itu telah melonjak sehingga mencatat rating 600 ribu penonton setiap minggu membuatkan pihaknya diminta oleh Astro Oasis untuk menghasilkan sambungannya untuk musim keempat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain