suria

Maher Zain Lebih Matang Dengan Kehadiran Aya

Maher Zain. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Maher Zain. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Maher Zain. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Kehadiran anak perempuan sulung, Aya yang baru berusia setahun kini melengkapkan kehidupan penyanyi terkenal Maher Zain dan menjadikan dirinya lebih matang.

Malah, penyanyi kelahiran Lubnan itu mengakui dirinya menjadi lebih sensitif, emosional, teruja dan mengagumi keajaiban ciptaan Yang Maha Esa.

"Ketika Aya dilahirkan, saya melihat ke dalam matanya...sungguh ajaib sekali. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Forgive Me di ibu negara, Jumaat.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun ini, kehadiran Aya yang bermaksud keajaiban dalam bahasa Arab memberi inspirasi kepada dirinya untuk mencipta lagu 'My Little Girl' yang dimuatkan dalam album terbarunya.

"Pada suatu hari, saya duduk dan mula mengatur melodi untuk lagu itu. Saya turut memasukkan suara kecil Aya di dalam lagu tersebut," katanya.

Maher berkata, lagu itu dihasilkan untuk melahirkan rasa terima kasih kepada Allah di atas kehadiran Aya.

"Saya turut berdoa agar Allah sentiasa membimbing dia ke jalan yang benar dan memberkati kehidupannya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai album terbarunya, Maher berkata album tersebut lebih unik kerana menampilkan dua buah lagu bahasa Melayu iaitu Ku Milik Mu dan Tuntunku Kepada Mu yang ditujukan khas kepada peminatnya di Malaysia.

"Dua buah lagu ini merupakan buah tangan saya kepada peminat-peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong dakwah saya.

"Lirik lagu tersebut digubah kepada bahasa Melayu dan saya teruja dapat menyanyikannya," katanya.

Graduan Sarjana Kejuruteraan Aeronautik itu mencatat sejarah tersendiri dalam industri hiburan apabila mempunyai 3.7 juta pengikut di laman sosial, Facebook dan 60 peratus daripadanya merupakan peminat dari Malaysia.

Selain dua lagu tersebut, album yang memuatkan 14 buah lagu kesemuanya turut menampilkan lima lagu dalam bahasa Arab manakala tujuh lagu Inggeris.

Dalam majlis pelancaran album berkenaan, Maher turut mempersembahkan single terbarunya berjudul Number One For Me.

Album keluaran Awakening Records dan edaran bersama Inteam Records Sdn Bhd dan Warner Music sudah berada di pasaran negara ini sejak 2 April lalu dengan harga RM29.90.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain