suria

Tengku Azura Hanya Berlakon Untuk Dain Said

Tengku Azura
Tengku Azura
Tengku Azura

KUALA LUMPUR: Satu-satunya pelakon wanita dalam filem Bunohan, Tengku Azura Awang, 37, menegaskan dia hanya akan berlakon sekiranya tawaran membintangi sesebuah karya datang daripada pengarah Dain Said.

Azura berkata, walaupun lakonan bukan bidang kariernya, dia menerima tawaran Dain atas dasar kawan selain selesa bekerjasama dengan pengarah berpengalaman itu.

"Memang kami sudah lama berkenalan. Malah, saya ada berlakon untuk beberapa babak dalam filem Dukun, arahannya.

"Bukannya mahu berlagak Diva atau sombong, tetapi saya akan hanya berlakon jika ia datangnya daripada Dain. Harap-harap pihak lain tidak salah anggap tentang pendirian ini," katanya yang pernah berlakon drama Mr.Bendul ketika berusia 19 tahun.

Bertanyakan apakah sebabnya dia menerima watak Mek Yah, yang memerlukan dia berwajah kotor, selain perlu berendam di dalam paya, beritahu Azura penggambaran filem itu dijalankan di Terengganu yang juga negeri kelahiran ibu dan bapanya.

"Lokasi penggambaran yang dijalankan sebenar telah membangkitkan nostalgia apabila kawasan kampung Payang pernah didiami ibu dan nenek saya.

"Selain itu, wataknya juga sangat mencabar di mana saya perlu bergelumang dengan lumpur dan lintah. Mula-mula geli juga, tapi lama-lama, saya menjadi seronok dengan apa yang dilalui.

"Bukan itu sahaja, saya juga harus berdepan dengan arus sungai yang deras," ujarnya.

Bagaimanapun, beritahu Azura, dia bukannya terlalu serius dalam menceburi bidang lakonan dan memandangkan usianya sudah terlewat untuk bergelar sebagai seorang pelakon, ibu kepada dua orang anak iaitu Adam Mustaqim, 16, dan Ilyas Ammar, 9, ini sekadar mahu mencabar sejauh mana kemampuan diri.

Dalam pada itu, dia juga bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong setiap karier yang dilakukannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain