suria

Bongkar Rahsia Cinta Lisa Surihani, Yusry Di Astro Malam Ini

PETALING JAYA: Bersempena dengan majlis Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) dan Lisa Surihani pada Khamis lalu, Astro akan memaparkan sebuah dokumentari eksklusif sebanyak dua episod bagi menjejaki kisah cinta pasangan itu sejak awal perkenalan sehingga berakhir ke jenjang pelamin.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, istimewanya dokumentari ini bakal merungkai rahsia sepanjang percintaan Yusry dan Lisa yang belum pernah dikongsi dengan mana-mana pihak.

“Di samping kisah romantik mereka, dokumentari ini juga akan memaparkan setiap detik persiapan perkahwinan, upacara akad nikah dan majlis persandingan.

"Episod satu yang akan disiarkan pada Sabtu (hari ini) pukul 10 malam akan meneliti profil pengantin lelaki dan perempuan, kisah cinta daripada kaca mata mereka sendiri serta kenalan dan ahli keluarga, serta persiapan perkahwinan," katanya.

Antara kenalan Yusry dan Lisa yang akan ditemubual dalam dokumentari ini ialah adik-beradik Yusry iaitu Norman dan Edry, teman-teman rapat, ibu bapa termasuk temu bual dari penerbit filem David Teo yang telah menggilap bakat Lisa hingga menjadi seorang bintang. Selain itu temu ramah bersama wartawan hiburan dan juga rakan artis seperti Liyana Jasmay dan Erra Fazira.

Bagi episod dua pula yang akan disiarkan pada 3 Mac 2012 pada pukul 10 malam, ia mengenai upacara akad nikah, persiapan terakhir majlis persandingan, liputan majlis persandingan dan pengakhiran sesi temu bual bersama pengantin lelaki dan perempuan tentang perancangan dan harapan masa depan mereka.

Antara paparan menarik yang akan dikongsi bersama penonton ialah tentang konsep perkahwinan Yusry dan Lisa khususnya tema, makna di sebalik warna serta pakaian yang dipilih mereka.

Pada satu babak juga, Ibu Lisa akan bercerita tentang kerisauannya kerana Lisa dan Yusry sentiasa sibuk dan banyak perkara yang belum siap.

Untuk terus berkongsi kebahagiaan tentang kisah cinta Yusry dan Lisa, jangan ketinggalan untuk menonton kedua-dua episod dokumentari eksklusif ini hanya di Astro Ria saluran 104.

Pasangan tersebut sah menjadi suami isteri selepas diijabkabulkan oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed pada malam Khamis lalu dan Lisa menerima seutas rantai platinum sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Artikel Lain