suria

Orkestra RTM Persembah ‘Konsert Sudirman... Abadi Di Hati’

KUALA LUMPUR: Sebagai pembuka tirai persembahan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM) 2012 dan bagi mengenang jasa serta menghormati karya seni penyanyi tersohor Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Orkestra RTM mempersembahkan Konsert Sudirman … Abadi di Hati di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini.

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran TV1 pada Jumaat (esok) ini pada pukul 9 malam.

Konsert selama dua jam ini bakal menampilkan konsep persembahan secara kronologi iaitu berdasarkan album-album yang pernah dihasilkan dan menjulang nama beliau sepanjang kerjaya seninya dari album Teriring Doa (1977) sehingga album terakhirnya.

Konsert yang akan diacarakan oleh dua pelawak popular tanah air, Saiful Apek dan Didie Alias ini turut menonjolkan kelainan kerana lagu-lagu yang bakal dipersembahkan oleh artis terlibat akan diperkenalkan sendiri menerusi sedutan rakaman video konsert Allahyarham semasa hayatnya.

Lagu-lagu akan dinyanyikan semula oleh barisan artis-artis popular tanah air baru dan lama bersempena 20 tahun pemergian penyanyi legenda negara ini.

Antara artis-artis terlibat seperti Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah dan Bob serta penglibatan artis-artis muda antaranya Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey dari Bintang RTM.

Orkestra RTM turut menampilkan artis sezaman yang pernah merakamkan album bersama Allahyarham iaitu Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini yang bakal membawakan tiga buah lagu dalam segmen lagu popular Allahyarham.

Konsert ini menampilkan Luqman Abdul Aziz bertindak sebagai pengarah muzik dengan diiringi 40 pemuzik Orkestra RTM yang menyaksikan 24 lagu hit Sudirman yang di awal pembabitannya pernah menjuarai Bintang RTM pada 1976.

Pemilihan lokasi konsert penghargaan di Auditorium Perdana Angkasapuri ini juga bertujuan mengimbau kenangan memori manis ketika beliau dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh RTM.

Menariknya set konsert ini diinspirasikan daripada pentas yang menyaksikan beliau menggondol gelaran ‘Penghibur Terbaik’ pada Anugerah Muzik Asia 1989 yang diadakan di Royal Albert Hall, London.

Ketika itu beliau telah menewaskan pesaing hebat seperti Leslie Cheung (Hong Kong), Anita Sarawak (Singapura), Epo (Jepun), Kuh Ledesma (Filipina) dan ramai lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain