suria

Ramona Amalkan Petua Kecantikan Ibu

DUNIA kecantikan dengan Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam (Ramona Zamzam), 21, (gambar) bagaikan tidak mampu dipisahkan. Lebih-lebih lagi dia merupakan seorang model dan pelakon yang mementingkan penampilan kerana mahu sedap dipandang.

Jadi tidak hairanlah dia berjaya mendapat kedudukan tempat ke-5 dalam pertandingan Dewi Remaja 2010/2011.

Menyoroti perjalanan karier seni Ramona, pada awalnya dia sudah menyertai bidang peragaan dan lakonan sebelum memasuki pertandingan tersebut.

“Saya mula menceburi bidang peragaan pada usia 12 tahun dan pertama kali wajah saya dirakamkan sewaktu sesi fotografi untuk cover majalah Bintang Kecil.

“Selepas itu, pada usia 14 tahun saya mula berlakon dan pertama kali muncul dalam filem Castello. Seterusnya, filem kedua iaitu 2 Hati 1 Jiwa. Tidak lama lagi, saya akan muncul dalam filem ketiga berjudul Sepah The Movie,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Biarpun masih belum dikenali, jelasnya, pertandingan Dewi Remaja sedikit-sebanyak menjadi batu loncatan untuk lebih dikenali dalam industri seni ini.

“Sebelum ini, keluarga sangat mementingkan pelajaran saya dan mahu saya selesai pengajian terlebih dahulu sebelum serius dalam bidang seni.

“Selepas saya menamatkan pengajian, saya akui hati saya masih rindu untuk berlakon. Saya juga pernah memasuki kelas vokal dan belajar membuat catwalk,” katanya yang mempunyai darah kacukan Melayu, Pakistan, Jerman dan Thailand.

Pengambilan madu

Memandangkan dia merupakan anak sulung daripada dua beradik, Ramona sangat rapat dengan ibu dan banyak menimba ilmu kecantikan daripada ibunya itu.

“Banyak petua yang dikongsi oleh ibu saya seperti mengamalkan pengambilan madu yang disapu pada muka untuk mengecutkan jerawat kerana dalam madu mempunyai bahan yang mengandungi anti bakteria.

“Saya turut menyapu yogurt pada muka yang bertujuan menghaluskan kulit muka. Apabila menjalani penggambaran di luar, saya akan menggunakan krim pelindung cahaya matahari pada kulit.

“Sementara untuk penjagaan kulit badan, saya menyapukan tomato yang telah dihancurkan dan dicampurkan dengan serbuk susu.

“Selain itu, saya rajin membuat rawatan skrub badan dan menyapu losyen pada badan atau kadangkala saya melakukan rawatan kecantikan di spa.

“Mama saya juga selalu memberi saya minum lemon madu yang mempunyai khasiat untuk badan,” katanya mengenai serba sedikit petua yang dikongsi kepada OopStarz!

Tambahnya: “Banyak lagi petua yang dikongsi oleh mama. Semasa di sekolah rendah, mama mengajar saya untuk menyapu putih telur pada muka.

“Untuk rambut, saya melakukan amalan meramas bunga raya dengan air sehingga keluar lendir sebelum menyapunya. Satu perkara lagi, boleh juga menyapu rambut dengan santan dan selepas itu membalut kepala menggunakan tuala.

“Kalau dulu, saya rajin membuat rawatan rambut ini tetapi sekarang agak kurang dilakukan kerana sibuk dengan urusan kerja,” katanya.

Bagi memastikan barangan mandian seperti syampu badan, syampu rambut dan deodoran sentiasa mencukupi, Ramona akan membeli stok barangan tersebut lebih banyak.

Apabila mengembara atau bercuti ke mana-mana, dia turut menyediakan barangan mandian secara berasingan yang bersaiz kecil.

Seperkara tentang Ramona, dia agak bertuah kerana mempunyai tubuh badan yang kecil dan jarang naik berat badan walaupun tidak mengawal pemakanannya.

“Saya makan ikut selera sendiri dan tidak mengamalkan diet kerana saya tidak mengalami masalah berat badan.

“Saya tak amalkan minum air semasa dan selepas makan sejak di tingkatan tiga. Saya akan minum setengah jam selepas itu bagi membantu sistem pencernaan. Kalau saya tidak tahan pedas, baru saya akan minum.

“Saya kena jaga perut kerana sewaktu di sekolah menengah, saya menyertai pasukan sorak,” katanya yang meminati sukan renang dan badminton.

Foto LOW LAY PHON & NORMAN HIU

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain