suria

Rashidi Ishak Dapat Ijazah Selepas Tujuh Tahun

Rashidi Ishak dan isteri, Vanidah Imran FOTO THESTAR, LIM CHENG KIAT
Rashidi Ishak dan isteri, Vanidah Imran FOTO THESTAR, LIM CHENG KIAT
Rashidi Ishak dan isteri, Vanidah Imran FOTO THESTAR, LIM CHENG KIAT

SERDANG: Selepas tujuh tahun bergelar pelajar, pelakon Rashidi Ishak akhirnya berjaya menerima ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Rashidi berkata, dia berasa bertuah biarpun mengambil masa yang lama untuk menamatkan pengajian, dia mampu membuktikan artis yang sibuk sepertinya boleh berjaya dalam akademik sekiranya berusaha.

"Saya sangat bangga kerana akhirnya dapat juga menamatkan pengajian dan saya mungkin pelajar paling lama di Fakulti Bahasa dan komunikasi, UPM ini.

"Berbagai rintangan terpaksa saya lalui untuk menghabiskan pengajian ini kerana saya terpaksa tangguh dua semester disebabkan sibuk menjalani penggambaran drama dan filem," katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen UPM, di sini, Selasa.

Rashidi antara 7,327 graduan pelbagai jurusan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen UPM kali Ke-35 yang diadakan di sini pada 15 dan 16 Oktober lalu.

Menurut suami kepada aktres Vanidah Imran ini, semangat yang kuat dalam dirinya didorong oleh isteri dan keluarga selain mahu menjadi pembakar semangat kepada anak-anaknya dalam bidang akademik.

"Biarpun saya sudah mempunyai kerjaya tetapi ijazah ini adalah satu kepuasan buat diri sendiri, lagi pula saya mahu anak-anak saya tahu betapa pentingnya ilmu dan pelajaran.

"Insya-Allah, kini saya memasang impian untuk terus belajar di peringkat lebih tinggi," katanya.

Azura jawab periksa ‘atas perut’

Sementara itu, kegembiraannya menerima ijazah turut memberi erti yang sangat bermakna buat pengacara Wanita Hari Ini, Azura Zainal.

Azura berkata, dia bersyukur kerana berjaya menempuhi pelbagai rintangan terutamanya dari segi kekangan masa.

"Tiga tahun merupakan satu jangka masa yang agak panjang kerana ketika saya mulakan pengajian saya baru sahaja bekerja di TV3.

"Selepas itu saya berkahwin dan mengandung, ketika itu banyak dugaan yang terpaksa saya lalui kerana terpaksa berkejar-kejar antara pelajaran dan kerja.

"Kenangan paling tidak dapat dilupakan ialah saat menjawab peperiksaan akhir, saya sudah cukup bulan mengandung dan terpaksa menulis di atas perut," katanya yang turut menerima ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut