suria

Society Tampil Lirik Berbentuk Puisi

ARTIS: Society ALBUM: Jalan LAGU PILIHAN: Emas Bertatah Permata, Berani Cinta, Sutera Bidadari EDARAN: CRG Communication

ALBUM: Jalan

LAGU PILIHAN: Emas Bertatah Permata, Berani Cinta, Sutera Bidadari

MENDENGAR lagu-lagu dalam album kumpulan Society iaitu Jalan, pasti memberikan ketenangan di fikiran.

Tarikan utama dalam album ini ialah lirik-lirik yang dihasilkan. Begitu indah bahasanya dengan kata-kata puitis yang penuh dengan makna-makna tersirat.

Mungkin kerana lirik-liriknya dihasilkan oleh novelis hebat seperti Ramlee Awang Murshid, Shamsiah Mohd Nor dan Jimadie Othman, album ini memberikan satu kelainan berbanding album-album tempatan yang berada di pasaran pada masa sekarang.

Pendekatan kumpulan ini yang terdiri daripada Meor Yusof Azziddin (Gitar/vokal), Daiyan Trisha (Vokal) dan Azmir Abas bukanlah sesuatu yang baru kerana kumpulan Kopratasa juga pernah menghasilkan lagu-lagu puisi sebegitu.

Cuma untuk pasaran muzik sekarang, percubaan album ini mungkin dapat menarik minat orang ramai yang inginkan kelainan kepada muzik.

Jalan memuatkan sebanyak 10 buah lagu iaitu Jalan, Emas Bertatah Permata, Berhijrahlah, Cinta Sekeras Logam, Di Alam Nyata, Berani Bercinta, Gerimis Malam, Bencana, Demi Sebuah Perjalanan dan Sutera Bidadari.

Menariknya tentang album ini, lagu-lagu yang dihasilkan menerapkan muzik-muzik Melayu dengan sedikit gabungan muzik urban.

Pada pendapat OopStarz!, lagu Emas Bertatahkan Permata yang dinyanyikan oleh Daiyan agak mesra pendengar. begitu juga dengan Gerimis Malam, lagunya lebih santai.

Selain itu lagu Berani Cinta, gabungan suara Daiyan dan Meor seperti pelengkap buat lagu ini. Muzik yang dibawakan agak biasa, cuma liriknya membuatkan orang terhibur dengan nyanyian mereka yang mengisahkan tentang cinta.

Lagu Sutera Bidadari yang lebih ke arah muzik berbentuk etnik kreatif menjadi pilihan OopStarz!.

Secara keseluruhannya, album Jalan menampilkan lagu-lagu yang penuh dengan mesej-mesej berguna jika difahami liriknya dengan betul. Kepada peminat lirik-lirik berbentuk puisi, album ini pasti menepati kehendak anda.

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain