suria

Baharudin Terkejut Juarai BNKN 2011 Walau Lupa Lirik

Baharudin (tengah), Rizal dan Amaran dengan hadiah masing-masing selepas memenangi Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto GLENN GUAN
Baharudin (tengah), Rizal dan Amaran dengan hadiah masing-masing selepas memenangi Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto GLENN GUAN
Baharudin (tengah), Rizal dan Amaran dengan hadiah masing-masing selepas memenangi Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto GLENN GUAN

KUALA LUMPUR: Juara Bintang Nostalgia Klasik Nasional (BNKN) 2011, Baharudin Bab, 59, terkejut apabila memenangi program tersebut walaupun terlupa lirik ketika menyampaikan lagu Kerana Mata nyanyian R. Azmi di pertandingan akhir yang disiarkan secara langsung di TV1 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, Sabtu.

Biarpun tidak menjangkakan kemenangan itu, dia tetap bersyukur apabila rezeki berpihak pada dirinya.

“Syukur alhamdullillah dengan kemenangan ini. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini dan tidak kisah sekiranya mendapat hadiah saguhati sahaja.

“Saya rasa sudah rezeki untuk memenangi pertandingan ini walaupun melakukan sedikit kesilapan. Semasa latihan saya tidak mengalami masalah dengan orkestra tetapi apabila menyanyi secara langsung, tiba-tiba rasa susah nak masuk korus.

“Tambahan pula secara tiba-tiba saya menjadi gugup, jadi sebab itu saya melakukan kesilapan. Tetapi saya rasa mungkin juri tidak perasan dan tidak tahu lirik lagu itu,” katanya ketika sidang media selepas diumumkan sebagai juara.

Bercerita tentang kemenangannya pada malam itu, Baharudin akui pernah menyertai pertandingan karaoke Klasik Nasional pada 2009 dan hanya mendapat hadiah saguhati.

Dengan kemenangan itu, Baharudin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000, pakej penerbangan dan penginapan 3 hari 2 malam untuk dua orang ke Pulau Langkawi, sijil penghargaan dan trofi.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh Mohd Rizal Ahmad, 37, yang mendendangkan lagu Berdendang Sayang nyanyian Ismail Ali Muda. Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta penginapan 3 hari 2 malam untuk dua orang ke Pulau Perhentian, sijil penghargaan dan trofi.

Tempat ketiga diraih oleh Mohd Amaran Harun, 51, dengan lagu Harapan Hanya Bayangan oleh M. Bakri serta berjaya mendapat hadiah wang tunai RM3,000, penginapan 3 hari 2 malam untuk dua orang ke Pulau Kapas, sijil penghargaan dan trofi.

Sembilan peserta lain membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penghargaan.

Mereka adalah Nerhayati @ Norhayati Yamat, 44, Solhi Tambi, 59, Asiah Dupah, 39, Habibi Bakri, 52, Norasmah Ibrahim, 48, Azizah Ngah, 52, Che Azmi Che Sulaiman, 49, Rosmah Sengari @ Basar, 36, dan Hazlina Wati Zainuddin, 38.

Finalis diadili oleh juri Datuk Dr Johari Salleh (komposer), Juliza Adlizan Abd Rafar (penyanyi) dan ketua juri daripada Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Mohd Asnawi Mutaal menerusi mutu suara sebanyak 50 peratus, penghayatan dan kawalan suara (30 peratus) dan persembahan (20 peratus).

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Sri Kamaruddin Siaraf dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain