suria

'Alam' Album Mohram Selepas Tujuh Tahun

Mohram
Mohram
Mohram

PETALING JAYA: Selepas tujuh tahun menyepikan diri tanpa album, akhirnya kumpulan duo muzik “fusion” etnik, Mohram, akan muncul dengan album terbaharu berjudul Alam.

Kata salah seorang kumpulan itu, Ramli (pemain rebana), kelewatannya bersama rakan, Mohar (pemain seruling) mengeluarkan album ketiga itu disebabkan mereka belum mempunyai inspirasi dalam menghasilkan lagu.

"Kami lebihkan kepada kualiti. Justeru itu, apabila idea belum muncul, kami biarkan sahaja. Sehinggalah apabila kami ke Terengganu pada hujung tahun lalu, saya mendapat terlalu banyak inspirasi.

"Setiap idea yang datang berdasarkan alam sekitar yang dilihat. Tambah pula pada ketika itu musim monsun, cuacanya sentiasa mendung dan suasana terasa begitu nyaman," katanya yang ditemui pada majlis pra dengan album Alam di Bsync Studio, di sini, Jumaat.

Antara lagu yang bakal dimuatkan dalam Alam ialah Kisah Si Anak Penyu, Pusaka, Cahaya Di Taman Suci, Alam Yang Sirna, Wira Lautan dan Sungai Terengganu.

Tambah Ramli, istimewanya album ini apabila Mohram turut memasukkan nyanyian vokal pada instrumen muzik yang dimainkan pada setiap lagu yang dibahagikan kepada dua versi.

"Memang Alam banyak kelainannya berbanding dua album sebelum ini iaitu Sakti (2001) dan Antarsukkha (2004).

"Selepas menerima respons daripada peminat, kami menghasilkan album yang memuatkan dua versi iaitu lagu bersama instrumen dan juga vokal. Jadi pendengar boleh memilih versi mana yang mereka mahu dengar,” ujarnya.

Selain itu, pada majlis tersebut, Mohram juga menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dengan pihak Taman Tamadun Islam (TTI) di Terengganu.

"Alhamdulillah, bermula hari ini Mohram dan TTI akan bekerjasama untuk meningkatkan taraf kualiti taman tema tersebut di mana kami akan menunjukkan muzik Malaysia kepada pelancong.

"Malah, Mohram telah mencipta sebuah lagu berjudul Cahaya Di Taman Suci khas untuk TTI. Kami juga akan melakukan kolaborasi dari segi penganjuran teater dan penulisan khat," ujarnya.

Album Alam akan menemui pendengar pada November depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aamir Khan Disaman RM6

Artikel Lain