suria

Segmen Komedi Serlah Suasana Ceria 'Melodi Raya’

Senario, Yassin dan Sepah menggamatkan suasana dalam Melodi Raya. - Foto SHAARI CHE MAT
Senario, Yassin dan Sepah menggamatkan suasana dalam Melodi Raya. - Foto SHAARI CHE MAT
Senario, Yassin dan Sepah menggamatkan suasana dalam Melodi Raya. - Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Tampil dengan konsep ‘3 Dimensi’ yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, komedi dan temu bual sensasi, rakaman Melodi Raya 2011 tampil dengan kelainan tersendiri.

Menurut penerbit Melodi Raya 2011, Azman Ghaffar, kelainan yang diberikan itu diharap mampu menarik penonton untuk terus setia menyaksikan Melodi Ahad (esok) dan minggu berikutnya di TV3.

“Tahun ini, kami telah memperkenalkan konsep 3 Dimensi yang merangkumi nyanyian, komedi dan temu bual sensasi untuk memberikan satu kelainan dalam Melodi Raya 2011.

“Segmen komedi yang jarang dipertontonkan dalam Melodi Raya diadakan bagi mewujudkan suasana ceria dan sempoi. Kami berharap agar Melodi Raya tetap menjadi pilihan penonton pada musim perayaan ini,” kata Azman.

Dihoskan oleh pasangan pengacara sensasi yang semakin serasi dengan program Melodi, Zizan dan Dira Abu Zahar berjaya menghangatkan suasana rakaman episod 1 dengan celoteh mereka yang spontan dan bersahaja.

Rakaman program yang diadakan semasa bulan Ramadan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu turut meraikan 40 orang anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih (Rabeka), Taman Ukay Perdana, Ampang.

Antara lagu-lagu yang didendangkan ialah Duit Duit oleh Hattan, Puasa dan Raya (kumpulan Senario), Kisah Hati (Alyah), Hati Emas (Datuk M. Nasir), Awan Nano (Hafiz), Itu Ini Begitu Begini (kumpulan Mirwana), Dia (duet Fauziah Latif dan Alyah), Selamat Hari Raya (Fauziah Latif), Leia (Black), Noktah Cinta (Hafiz), Gerhana (duet Hattan dan Black), Pulanglah (Awi Rafael) dan Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M.Nasir dengan semua artis yang hadir) sebagai penutup persembahan.

Para hadirin turut dihiburkan dengan segmen komedi yang dijayakan oleh Yassin, kumpulan Sepah dan kumpulan Senario. Dalam kemeriahan menyambut Syawal, Melodi Raya juga tidak lupa memberi penghormatan kepada artis-artis yang meninggal dunia pada tahun ini dalam paparan segmen belasungkawa.

“Hubungan Melodi dengan artis-artis bagaikan aur dengan tebing yang saling memerlukan. Kami berasa amat bersyukur kerana Melodi Raya sentiasa mendapat sambutan hebat daripada rakan-rakan artis, para penggiat seni dan juga penonton setia Melodi.

“Rakaman Melodi Raya yang menghimpunkan artis-artis lama dan baru juga memberi kesempatan kepada mereka yang sentiasa sibuk dengan komitmen masing-masing untuk menjaga silaturahim,” kata Azman lagi.

Melodi Raya episod 2 pula memaparkan sesi temu bual sensasi yang dikendalikan oleh Wahid Senario dan Dira Abu Zahar bersama dua pengacara jemputan yang bukan calang-calang orangnya iaitu Raja Azura dan Sharifah Shahira.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain