suria

Kontroversi Punca Jodoh Faezah Elai & Heykal

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Faezah Elai memberitahu kontroversi yang tercetus di antara dia dan pengarah Heykal Hanafiah telah menimbulkan bibit cinta mereka berdua.

Jelas Faezah, dia dan Heykal mula rapat apabila sering bertemu bagi menyelesaikan masalah yang mengaitkan mereka.

"Saya rapat dengan Heykal selepas kontroversi yang melanda kami, padahal sebelum kontroversi tersebut memang kami tiada sebarang hubungan langsung.

"Pada asalnya kami hanya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut dan akhirnya hubungan itu melahirkan satu perasaan lain," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Tanda Putera, Perbadanan Kemajuan Filem Merdeka (Finas) di sini, Selasa.

Kisah Faezah dan Heykal menjadi panas sebelum ini apabila mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa ketika lelaki tersebut mengarahkan sebuah drama lakonan pelakon wanita itu.

Akibatnya Faezah dituduh menyebabkan keruntuhan rumah tangga Heykal

Bagaimanapun, Faezah menegaskan dia sama sekali tiada kaitan dengan masalah rumah tangga pengarah drama Asmara itu.

"Saya rapat dengan dia selepas dia berpisah dengan isterinya, saya tiada kaitan dengan masalah rumah tangga mereka," tuturnya.

Pasangan yang memilih tarikh 9 September untuk diijabkabulkan menganggap perkenalan dalam waktu singkat itu bukan penghalang untuk menjalani kebahagiaan dalam rumah tangga.

"Biarpun hubungan percintaan kami singkat, namun saya yakin saya mengenali dia. Malah saya juga memahami apa masalah sebenar yang menyebabkan kegagalan rumah tangganya.

"Saya yakin apabila hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak, adalah lebih baik perkahwinan kami dijalankan segera," katanya.

Ketika ditanya tentang tindakannya sebelum ini yang cuba menyembunyikan identiti bakal suami dan tarikh perkahwinannya, Faezah menjelaskan perkara itu dibuat atas permintaan bakal ibu mertuanya.

"Saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini apabila ditanya wartawan, tetapi ia adalah permintaan ibu mertua saya yang tidak mahu ia diumumkan sebelum kad undangan siap dicetak.

"Sekarang mungkin masa yang tepat untuk saya mengumumkan majlis tersebut kerana semuanya sedang berjalan dan ibu mertua sudah beri lampu hijau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain