suria

Muaz, Azura (Muzik FM) Selami Jiwa Anak Yatim

Muaz dan Azura ketika majlis berbuka puasa anak yatim anjuran Muzik FM di Hotel Pearl International.
Muaz dan Azura ketika majlis berbuka puasa anak yatim anjuran Muzik FM di Hotel Pearl International.
Muaz dan Azura ketika majlis berbuka puasa anak yatim anjuran Muzik FM di Hotel Pearl International.

PETALING JAYA: Deejay Muzik FM, Muaz,27, dan Azura,30, akui setiap kali mereka terlibat dengan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim pasti memberikan cerita yang berbeza.

Suka dan duka yang dilalui mengikut latar belakang kehidupan masing-masing memberikan kesan mendalam kepada dua deejay ini.

“Kami menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menjemput anak yatim dari rumah kebajikan yang berbeza pada setiap tahun.

“Apabila bermesra dengan mereka, banyak cerita yang berbeza dapat dikongsi. Jadi, setiap kali mendengar kisah mereka, saya akan lebih rasa bersyukur dengan apa yang ada,” kata Muaz pada majlis berbuka puasa anjuran Muzik FM dan Hotel Pearl International bersama anak-anak yatim dan miskin, Taman Baiduri, Dengkil di sini.

Majlis tersebut dihadiri oleh 21 orang anak yatim dan 10 pendengar bertuah Muzik FM.

Biarpun dua tahun berturut-turut majlis itu diadakan di lokasi yang sama, namun sambutan yang diberikan agak berlainan.

“Majlis berbuka puasa pada tahun ini memberikan sambutan yang paling meriah begitu juga dengan sumbangan yang lebih banyak diterima daripada pihak penaja. Artis yang membuat persembahan juga agak memberangsangkan.

“Apa yang penting, selain memberikan sumbangan duit raya dan barangan, kami ingin menggembirakan anak-anak ini agar mereka dapat merasai keseronokan puasa seperti anak-anak lain,” ujarnya lagi yang buat kali ketiga terlibat dengan majlis itu.

Sementara deejay Azura atau nama sebenarnya Azura Lisa Aziz, 30, ini sudah masuk lima tahun dia meraikan anak yatim di majlis berbuka puasa.

“Saya rasa mereka sangat istimewa di mata saya dan sehingga kini kami masih berhubung menerusi laman sosial Facebook,” ujarnya.

Majlis yang dinamakan ‘Jom Berbuka Puasa’ itu dihadiri oleh beberapa artis jemputan iaitu Awi Rafael, Adzrin Adzhar, Keena Mentor, Iqa Mentor dan deejay Muzik FM yang lain.

Artikel Berikut

Artikel Lain