suria

Diana Danielle Bawa Buku Ke Mana-mana

SEAWAL usia 20 tahun, pelakon jelita Diana Danielle Danny Beeson (gambar) sudah mampu hidup senang dengan kerjaya lakonan yang dibinanya sejak tahun 2002.

Tidak pun naik secara mendadak, hasil pengalaman kerja yang dikutip membuatkan Diana kini boleh dikategorikan sebagai seorang pelakon wanita yang kukuh dalam karier.

Akui Diana, keinginannya yang mahu belajar berdikari dan memegang duit sendiri membuatkan dia memulakan kerjayanya sebagai pelakon iklan terlebih dahulu ketika berumur 12 tahun selain ingin mengubah cara kehidupan yang lebih selesa.

Kerana itu juga membuatkan personaliti anak kacukan Melayu-Inggeris ini dilihat lebih matang daripada usianya sebenar.

“Memang dari segi fizikal, saya dilihat lebih matang berbanding usia, tapi saya masih budak-budak lagi tau, banyak yang kena saya pelajari,” selorohnya memulakan bicara.

Sambil menyolekkan sendiri wajah gebunya, kata Diana, dia sudah biasa memegang duit sendiri walaupun masih lagi muda kerana ingin mengurangkan beban ibunya dan kini bersyukur, segala keperluan asas keluarga, boleh ditanggungnya.

Bagaimanapun, Diana belum lagi merasakan bahawa diri sudah cukup kukuh dalam kerjaya seninya itu.

“Masih banyak perkara yang perlu saya belajar dalam dunia seni ini dan rasanya tapak karier saya belum kukuh.

“Mungkin dari segi kepunyaan wang, ya saya akui, setakat ini bolehlah tampung ibu dan adik angkat saya, Halley Hayden yang baru berusia tiga tahun itu, Alhamdulillah.

“Cuma dalam industri lakonan ini, kita mempunyai ramai saingan dan justeru itu setiap tawaran yang diterima saya perlu mengasah bakat dan lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Diana, dia bukanlah seorang pelakon yang workaholic seperti segelintir pelakon lain kerana sukar memberi fokus apabila berlangsungnya penggambaran nanti.

Baginya, dalam setahun, dia hanya akan mengambil antara dua hingga tiga tawaran filem mengikut kemampuannya.

“Saya kagum dengan segelintir pelakon yang boleh bekerja dari satu projek ke projek yang lain dan saya tidak mampu melakukannya.

“Biasanya, selepas selesai satu projek, saya akan berehat selama dua hingga tiga bulan sebelum mengambil tawaran filem baru. Saya tidak mahu terburu-baru dalam melakukan sesuatu.

“Lebih senang jika kita dengar dan belajar secara perlahan, itu cara saya. Karakter saya ini, jika bekerja terlalu kuat, mulalah rasa serabut dan tak boleh fokus pada sesuatu benda,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran filem Azazil bersama pelakon Remy Ishak.

Tak ikut peredaran fesyen

Seperti biasa, menjadi satu pandangan skeptikal semua orang apabila menganggap seorang pelakon semestinya mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi.

Tidak buat Diana, dia lebih selesa berimej sederhana dan fesyen bukanlah satu kemestian serta itu bukan minatnya.

“Ramai yang berkata saya ini seorang yang selekeh. Memang betul pun. Saya tak ikut perkembangan fesyen terkini dan menganggap fesyen memerlukan saya keluarakan wang yang banyak.

“Saya tak kisah jika berhabis wang untuk kucing kesayangan, buku dan DVD filem.

“Membeli barang-barang solekan, minyak wangi dan baju adalah satu pembaziran,” katanya rancak memberi pandangan.

Tambah Diana, imej bukanlah satu isu besar buatnya, malah dia tidak kisah jika memerlukan diri menjadi gemuk dalam sesebuah watak.

Seperti umum tahu, Diana kini sedang hangat bercinta dengan pelakon dan pengarah hebat, Farid Kamil.

Sengaja mengusik pernah atau tidak dia terfikir untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda, Diana tidak kisah dengan hal itu jika ditakdirkan Allah.

Malah pelakon ini juga mempunyai impian perkahwinan di mana dia mahu majlisnya itu nanti diadakan secara kecil-kecilan dan dihadiri oleh orang yang tersayang yang telah memberi sokongan terhadapnya sahaja.

“Saya tak suka majlis perkahwinan yang besar. Cukuplah jika tetamu yang hadir itu terdiri daripada orang yang mempunyai kaitan dan rapat dalam hidup saya.

“Ya, saya tak kisah jika jodoh saya sampai awal atau kahwin muda. Malah sejak kehadiran Halley di rumah, dia mengajar saya untuk tidak mementingkan diri.

“Dia juga mengajar saya untuk berkongsi kasih sayang dan kini saya sudah boleh bermain bersama-samanya mahupun kanak-kanak lain. Mungkin juga saya boleh menguruskan sebuah keluarga,” ujarnya tersenyum.

Trivia Diana Danielle

- Sebenarnya Diana lebih meminati bidang nyanyian daripada lakonan.

- Gemar melukis dan mencipta lagu.

- Bakal muncul dengan single terbaru berjudul Tak Pernah Ada.

- Seorang yang ‘gila buku’ dan mengimpikan sebuah perpustakaan kecil di rumahnya.

- Tidak suka berkunjung ke kelab malam.

- Seorang yang cemerkap (clumsy).

- Meminati buku berkisarkan kisah-kisah benar dan akan membawa sekurang-kurangnya sebuah buku ke mana-mana sahaja.

- Mahu mengikut jejak langkah idolanya, Jodi Foster menyambung pengajian dalam bidang psikologi

Foto MUHAMMAD ZULFADHLI Pakaian HOUSE OF WANPA (012-2386148)

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Lain