suria

'Pemuzik Bebas Tak Boleh Ikut 'Kepala' Sendiri' - Pesawat

Kumpulan Pesawat mengakui kepentingan media dan publisiti yang memberikan impak positif pada perkembangan karier mereka. - Foto oleh YAP CHEE HONG
Kumpulan Pesawat mengakui kepentingan media dan publisiti yang memberikan impak positif pada perkembangan karier mereka. - Foto oleh YAP CHEE HONG
Kumpulan Pesawat mengakui kepentingan media dan publisiti yang memberikan impak positif pada perkembangan karier mereka. - Foto oleh YAP CHEE HONG

PETALING JAYA: Kumpulan Pesawat menasihati penyanyi dan pemuzik bebas yang terbawa-bawa ideologi tidak mementingkan publisiti agar bersikap lebih realistik.

Kata pemain dramnya, Kudux, fahaman begitu adalah kurang bersesuaian dengan senario muzik tempatan yang kecil dan terhad ini.

"Memang tidak dinafikan sebagai pejuang muzik bebas, masing-masing ada ideologi sendiri yang tidak begitu mempedulikan aspek publisiti dan pihak media.

"Bagaimanapun, mereka perlu sedar industri muzik kita adalah kecil dan terhad, tidak seperti di luar.

"Kalau di luar, pemuzik bebas boleh ikut "kepala" masing-masing tetapi tetap boleh jual album dan dikenali ramai namun keadaan itu berbeza di Malaysia," katanya yang ditemui di Menara Star, di sini, baru-baru ini.

Vokalisnya, Jipie yang turut mempunyai fahaman sedemikian sebelum ini berkata, pemuzik bebas yang mahu serius dalam arus perdana perlu lebih fleksibel dan terbuka demi kebaikan mereka untuk tempoh jangka panjang.

"Kami juga pernah berfikir kenapa perlukan publisiti dan media sedangkan selama ini kami bergerak bebas dan berdikari untuk memperjuangkan muzik.

"Selepas menyedari impak positif pada penjenamaan Pesawat yang makin meluas hari ini, memang kami tidak dinafikan kepentingan publisiti dan media.

"Cuma, biarlah kami dikenali ramai kerana perjuangan muzik yang diketengahkan dan bukannya atas kontroversi yang bukan-bukan," katanya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaru, kumpulan yang baru saja melancarkan album sulung berjudul Take Off ini berkata, mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk muncul di arus perdana kerana belum bersedia untuk mengharungi industri muzik sebelum ini.

"Kalau diikutkan sejak 2007 lagi, lagu Mirage sudah popular di kalangan peminat dan carta-carta radio.

"Kami juga pernah mendapat kepercayaan saluran Channel V untuk melancarkan klip video lagu itu di atas kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hanya selepas 2008, baru kami bersedia untuk serius dalam bidang ini dan mula menghasilkan lagu-lagu untuk album ini," katanya yang membelanjakan kos penerbitan sebanyak RM30 ribu untuk album berkenaan.

Kumpulan Pesawat yang ditubuhkan pada 2005 itu dianggotai oleh Jipie, 30 (vokal), Kudux, 36 (dram), Nizam, 30 (gitar), Mann, 30 (bass) dan Danial, 30 (synthesizer).

Album yang memuatkan 14 lagu termasuk 1 trek tersembunyi itu akan diedar dan dijual di seluruh kedai serbaneka 7-Eleven di sekitar tanah air.

Sebagai rangka promosi, Pesawat akan mengadakan persembahan di CT Cafe City Plaza, Johor Bahru pada 23 Julai dan Yes Flagship Store, Lot 10 (30 Julai).

Untuk maklumat dan perkembangan terkini, peminat boleh melayari www.pesawatmusic.com dan laman sosial mereka, www.facebook.com/pesawatmusic.

Artikel Berikut

Artikel Lain