suria

Petua Lama Amalan Deborah Henry

Deborah Henry
Deborah Henry
Deborah Henry

JELITAWAN terkenal Deborah Henry datang dengan pakej menarik. Jadi, menjaga kecantikan bukanlah masalah besar buatnya yang sememangnya sudah sedia cantik selain kedudukannya yang memegang gelaran Miss World Malaysia dan Miss Universe Malaysia.

Berkongsi tentang rahsia kecantikannya, walaupun seorang yang moden, Deborah masih mengamalkan petua kecantikan tradisional turun-temurun daripada orang lama.

Itu jelas menunjukkan bahawa wanita muda ini tidak mengetepikan amalan lama yang mungkin jarang menjadi ikutan generasi baru zaman sekarang.

Namun, mengamalkan petua tradisional tidak bermakna menunjukkan pengacara program Bella di ntv7 ini seorang yang kolot. Apa salahnya mengambil tahu tentang petua yang mendatangkan faedah.

"Saya suka menyapu minyak kelapa ke rambut yang dibiarkan selama dua jam pada setiap Sabtu. Amalan ini dilakukan seminggu sekali.

"Saya juga gemar melakukan rawatan urut tradisional Melayu yang mampu mengubati lenguh-lenguh dan sakit sendi serta anggota badan sekali selang dua minggu.

"Saya percaya urutan ini mampu melancarkan perjalanan darah dan menjadikan badan sentiasa segar," ujarnya kepada OopStarz!.

Pentingkan kebersihan

Jika sudah menjaga kecantikan, pasti kebersihan diri juga diutamakan kerana ia saling lengkap melengkapi.

Jadi, apabila bercakap soal kebersihan, sudah tentu pusat rawatan kecantikan STRIP yang menjadi pilihan Deborah sejak tahun 2006.

Siapa sangka, tuah bekas graduan jurusan ekonomi dan sains politik dari University of Queensland, Brisbane, Australia ini apabila ditawarkan menjadi duta salun pembuangan rambut (waxing) iaitu STRIP Ministry of Waxing pada tahun ini.

"Saya memilih STRIP kerana perkhidmatan di pusat rawatan ini cepat, bersih, profesional selain membuatkan saya lebih selesa.

"Saya suka melakukan rawatan ‘waxing’ pada kulit agar menampakkan penampilan lebih terurus dan bersih. Apabila melakukan rawatan di sini, kulit saya menjadi lembut.

"Bukan itu sahaja, ia juga melambatkan penumbuhan semula bulu roma pada bahagian tertentu. Setakat ini, saya telah menjalani banyak sesi rawatan dan tidak perlu melakukan rawatan mengurangkan bulu roma dalam tempoh empat hingga lima bulan.

"Selain itu, saya juga suka merawat kuku di STRIP. Saya rasa lebih yakin apabila diri lebih terurus. Daripada situ, saya merasakan lebih bertenaga dan mempunyai penampilan menarik," jelasnya.

Bersolek

Model terkemuka antarabangsa berdarah kacukan Irish-India ini agak bertuah memandangkan dirinya tidak mempunyai masalah kulit. Disebabkan itu, dia lebih gemar bersolek sendiri berbanding mengupah jurusolek.

"Apabila bersolek, saya suka lakukannya sendiri dan mula mempraktiknya sejak berusia 15 tahun.

"Saya masih mencuba selok-belok solekan yang lebih menarik dan cantik kerana pada saya solekan adalah seni," cerita anak kedua daripada empat beradik ini.

Selain itu, dia juga mementingkan makanan yang berkhasiat dan menolak makanan yang tidak sihat.

Bagaimanapun, dia yang sedang membuat persiapan untuk pertandingan Miss Universe 2011 yang akan berlangsung di Sao Paolo, Brazil menjelang 12 September depan gemar menikmati nasi lemak dan coklat.

Menyentuh tentang pemakanan sihat, pastinya buah-buahan dan sayur-sayuran tidak boleh lari daripada wanita ini.

Kadangkala, dia turut mengambil makanan berat lain seperti stik daging lembu. Untuk lebih seimbang, dia juga akan makan ikan bakar, roti perang dan beras perang.

Persiapan lain termasuklah senaman di gimnasium yang masih diteruskan seperti biasa dan membaca pelbagai jenis buku dan maklumat untuk menambah ilmu di dada.

"Saya akan menghabiskan masa setiap dua kali seminggu untuk melakukan senaman menggunakan mesin dan ‘body tone’.

"Saya mahu sentiasa sihat dan mengekalkan bentuk badan menarik serta bagus kepada otot badan selain membantu mengurangkan stres," ujarnya lagi.

Disebabkan kariernya bermula sejak usia 15 tahun, jadi tidak mustahil kiranya wanita itu menganggap dirinya seakan-akan tua daripada usianya.

"Memandangkan saya mempunyai pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik sebelum ini, jadi saya rasa lebih yakin untuk menyertai pertandingan ini.

"Semasa mula-mula menyertai pertandingan ratu cantik, saya sentiasa menyoal siapa diri saya yang sebenar dan cuba mengenali diri-sendiri.

"Dari situ, saya belajar untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Untuk pertandingan ini, saya akan melakukan sehabis baik kerana ini merupakan tahun terakhir saya berpeluang menyertainya memandangkan pertandingan itu hanya terbuka kepada wanita berusia 26 tahun ke bawah," ceritanya lagi.

Kalah atau menang, itu menjadi persoalan kedua bagi Deborah. Yang penting, dia mahu membawa nama negara ke peringkat antarabangsa dan berharap semua pihak memberikan sokongan kepadanya untuk berjaya dalam pertandingan Miss Universe 2011.

Artikel Lain