suria

Mak Yong Lebih Popular Di Kuala Lumpur Berbanding Di Kelantan

Rosnan Rahman
Rosnan Rahman
Rosnan Rahman

KUALA LUMPUR: Pak Yong negara, Rosnan Rahman sedih apabila melihat teater tradisional daripada negeri Kelantan, Mak Yong, dikatakan lebih popular di Kuala Lumpur (KL) berbanding di negeri berkenaan.

Kata Rosnan, ini disebabkan Mak Yong tidak dibenarkan membuat publisiti yang meluas seperti di KL supaya tidak ramai yang akan menyertai menonton Mak Yong.

"Pihak kerajaan (Kelantan) tidak menggalakkan sesebuah persembahan itu melibatkan gandingan lelaki dan wanita.

"Hal ini membuatkan Mak Yong sukar untuk bergerak dan ini teater tersebut semakin pudar di negeri itu," katanya.

Justeru itu, tambah Rosnan, Mak Yong kini cuba berkembang di KL agar teater tersebut tidak hilang begitu sahaja.

Bagaimanapun, Rosnan bercadang untuk mengangkat semula Mak Yong di Kelantan dengan caranya yang tersendiri.

"Saya merancang untuk mengadakan persembahan Mak Yong dengan hanya melibatkan pelakon dan penari lelaki sahaja.

"Dan kalau boleh saya mahu membawa masuk semula Mak Yong ke dalam istana Kelantan kerana ia sebenarnya berasal dari sana," ujarnya.

Rosnan yang kini dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu baru sahaja tamat mengendalikan persembahan teater Mak Yong Dewa Indera Indera Dewa yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Mengenai teater berkenaan, ia merupakan sebuah persembahan yang menarik untuk ditonton kerana isi penceritaannya dengan gabungan elemen klasik serta diselitkan dengan lawak jenaka moden.

Teater tersebut mengisahkan tentang dua beradik anak raja iaitu Dewa Indera, lakonan Rosnan, dan Indera Dewa (Arja Lee) pergi memburu di dusun lama peninggalan ayahanda dan bonda mereka.

Ketika sedang memburu mereka terjumpa dengan Puteri Selindungan Daun dan kedua-dua anak raja itu cuba memikat puteri itu.

Sepanjang persembahan berlangsung, dua pengasuh Dewa Indera dan Indera Dewa iaitu Peran Muda dan Rebab Serunai menghiburkan para penonton dengan lawak jenaka mereka.

"Alhamdulillah, persembahan teater Mak Yong di sini (IB) berjaya memenuhi ruang tempat duduk penonton.

"Lebih menyeronokkan, golongan muda juga turut terhibur dengan persembahan ini dan pada masa akan datang, saya mahu anak muda zaman sekarang dan yang akan datang mengenali Mak Yong dengan lebih dekat menerusi penganjuran teater Mak Yong yang lebih banyak," katanya.

Bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk menonton teater tersebut, Dewa Indera Indera Dewa akan dipersembahkan di JKKN Negeri Sembilan pada 24 dan 25 Jun depan.

Artikel Lain