suria

Filem Wayang, Khas Buat Penggiat Seni

PETALING JAYA: Menjelang Hari Seniman yang akan disambut pada 29 Mei hingga 29 Jun depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan filem berbentuk drama kemasyarakatan, Wayang, pada 28 Mei 2011, jam 10.00 pagi di TV2.

Filem arahan Hatta Azad Khan itu ditayangkan sebagai stau tanda penghargaan kepada pengkarya seni seperti pelakon, penyanyi, pelukis, penyair, penulis, penari, pengarah, krew, penerbit dan yang berkaitan dengan seni kerana menyumbang karya untuk dikongsi kepada semua golongan masyarakat tempatan.

Filem yang menampilkan pelakon hebat Eman Manan (Awang Lah), Zul Huzaimy (Awi), Ida Nerina (Mak Cik Esah), Anuar Idris (Pak Mail), Mas Muharni (Melor), Mohd Asrah Aris, Mohd Asrah Afif dan Wan Kenari ini mengangkat watak seorang dalang ternama yang berdepan dengan pelbagai masalah diri serta kehidupan di sekelilingnya.

Kisahnya bermula apabila Awang Lah, seorang dalang tersohor, tiba-tiba berdepan dengan masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta bernama Awi dan seorang kanak-kanak perempuan bersuara sengau, Melor.

Kekecewaannya terhadap anak sendiri yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dan kanak-kanak istimewa itu.

Setelah dewasa Awi mencuba berbagai gaya tersendiri menyelitkan unsur jenaka pada cerita-cerita dari hikayat Ramayana.

Percubaan Awi tidak disenangi Awang Lah yang menganggap wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Awang Lah menjadi bertambah serabut dengan gangguan Jusoh, sepupunya yang menganggap wayang kulit adalah bertentangan dengan agama.

Walapun buta, Awi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik, dan Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya sambil mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Cinta mula berputik antara Awi dan Melordan pada masa sama, Jusoh turut menaruh hati pada Melor.

Disebabkan cemburu, Jusoh menuduh Awi membakar panggung wayang kulit Awang Lah.

Memandangkan terlal banyak masalah yang dihadapi Awang Lah, soalan bertubi-tubi singgah di fikarannya, mampukah Awi dan Melor meneruskan warisan kesenian wayang kulit.

Dan adakah wayang kulit akan diterima oleh anak-anak remaja di masa akan datang?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain