suria

Nora & Sohaimi Ada Kriteria Pilih Peserta 'Kilauan Emas'

Sohaimi dan Nora ketika sidang media Kilauan Emas di Restoran Warisan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto LOW BOON TAT
Sohaimi dan Nora ketika sidang media Kilauan Emas di Restoran Warisan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto LOW BOON TAT
Sohaimi dan Nora ketika sidang media Kilauan Emas di Restoran Warisan, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto LOW BOON TAT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nora dan Sohaimi Mior Hassan yang dilantik sebagai juri tetap program realiti nyanyian terbaru, Kilauan Emas di Astro Prima (saluran 105) berkongsi kriteria peserta yang dicari.

Ini kerana kedua-duanya bertindak untuk menentukan markah yang akan diberikan sebanyak 100 peratus kepada peserta yang layak.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 38, mahukan peserta yang mempunyai vokal yang bagus dan melihat kepada aspek keseluruhan persembahan yang dilakukan.

“Apabila ditawarkan sebagai juri tetap program ini, saya rasa ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan sepenuh perhatian kerana bukan mudah untuk menghakimi orang yang lebih tua daripada saya.

“Sebelum ini saya lebih terdedah sebagai juri program realiti nyanyian Idola Kecil melibatkan kanak-kanak. Jadi, saya akan lebih berhati-hati untuk memberikan komen kepada peserta yang lebih tua agar tidak menimbulkan salah faham.

“Bagaimanapun, saya berharap bakal peserta nanti tidak mengambil remeh tentang pitching suara masing-masing bergantung kepada lagu yang dipilih,” katanya ketika sidang media di Restoran Warisan, Dataran Merdeka, di sini, Isnin lalu.

Sementara Sohaimi melihat kepada kriteria peserta yang mempunyai pakej iaitu pandai menyanyikan lagu dengan baik, suara yang bagus dan berpenampilan menarik.

“Saya menganggap program ini sebagai satu platform kepada golongan berusia 45 tahun ke atas yang tidak boleh menyertai program realiti Akademi Fantasia dan Mentor.

“Sebolehnya, saya mahukan peserta yang mempunyai pakej iaitu suara yang bagus dan penampilan sedap mata memandang.

“Biarpun begitu, saya masih lagi boleh bertolak ansur tentang pakej yang dimaksudkan asalkan mereka boleh memberi persembahan dengan suara yang bagus.

“Saya juga mencari karisma yang ada pada peserta sesuai dengan usia mereka. Tak semestinya mereka perlu menari,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu Kalau Berpacaran ini: “Kalau boleh saya mahu mereka seronok di atas pentas serta mampu menyampaikan mesej dan lagu dengan baik.”

Pencarian peserta akan bermula di empat buah negeri iaitu Skudai Parade, Johor Baru pada 7 dan 8 Mei, Berjaya Megamall, Kuantan (14 & 15 Mei), Plaza Alam Sentral, Shah Alam (21 & 22 Mei) dan Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (28 & 29 Mei).

Empat peserta yang berjaya ke peringkat akhir bakal merebut hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dalam program yang dihoskan oleh pengacara Raja Azura itu.

Mereka yang berminat mestilah warganegara Malaysia yang berusia 45 tahun ke atas dan perlu membawa salinan kad pengenalan serta sekeping gambar berukuran 4R (gambar profil paras pinggang).

Para peserta harus menyanyikan salah satu lagu wajib iaitu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu dendangan Ramlah Ram, Di Persimpangan Dilema(Nora), Seri Dewi Malam (Sharifah Aini), Gerhana (Kembara), Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim).

Selain itu, lagu Sampaikan Salam Cintaku (Alleycats), Epilog Cinta(Sohaimi Mior Hassan), Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak), Sejati(Wings) dan Widuri (Broery Marantika).

Program ini akan disiarkan di Astro Prima (saluran 105) bermula 24 Junini secara rakaman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain