suria

Dira Zahar Cabaran Anak VIP

SIAPA yang tidak mahu bergelar anak orang kenamaan (VIP)? Bukan saja dilimpahi kemewahan, malah turut diuliti keselesaan, punya pengawal peribadi dan disegani ramai. Bunyinya memang indah tetapi hakikatnya tidak semudah yang disangka.

Menggalas taraf anak VIP, pelakon dan pengacara Dira Zahar mengakui ia tidak sebebas sangkaan umum.

Benar, puteri bongsu kepada bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin ini memiliki kehidupan yang senang, selesa dan penuh kesempurnaan yang didambakan orang ramai.

Namun, itu bukan lesen untuk Dira bebas bergerak atau melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya tanpa kawalan dan pemantauan.

“Kalau hendak ukur pada aspek kebendaan, keistimewaan dan keselesaan, memang saya menikmati semua itu. Namun, bukan mudah menjalani kehidupan dengan status ini.

“Percaya atau tidak, sehingga hari ini, saya masih lagi dalam pemantauan keluarga dan pengawal peribadi pada setiap masa,” katanya.

Merancakkan lagi perbualan, ibu tunggal itu menyambung: “Apa yang terbaik tentang kehidupan kami adalah kesederhanaan yang diterapkan oleh ibu bapa kepada kami adik-beradik.

“Kami menjalani hidup yang ringkas di sebalik segala protokol yang diaturkan. Pun begitu, waktu remaja saya sebenarnya tidak berwarna-warni seperti remaja lain.

“Dek status itu, saya terlepas banyak perkara yang dilakukan oleh remaja lain seperti bersiar-siar atau menonton wayang dengan kawan-kawan.

“Sehingga hari ini, saya sebenarnya tidak pernah berpeluang menaiki LRT dan pengangkutan awam yang lain. Sekalipun dibenarkan keluar dengan kawan pasti akan ditemani ibu atau paling tidak pasti ada pengawal peribadi yang memantau dari jauh.”

Tambahnya, pada usia mencecah 27 tahun ini pun, dia belum bebas sepenuhnya untuk ke sana ke mari bersendirian, termasuklah untuk keluar dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Yusof.

“Kalau hendak tahu, saya masih tidak berpeluang untuk keluar berdua-duaan dengan tunang saya. Selalunya, kami akan lepak di kedai abang sahaja atau jika keluar pun pasti beramai-ramai dengan keluarga yang lain.

“Namun, saya tetap bersyukur di atas perhatian dan kawalan berterusan oleh keluarga ini. Sekurang-kurangnya saya tahu saya tidak pernah berseorangan di mana sahaja.

“Berbanding pada usia remaja dulu, kini saya lebih bebas dengan pemantauan yang minimum, walaupun sebenarnya saya tahu masih lagi tetap dipantau dari jauh,” kongsinya sambil ketawa.

Pun begitu, memahami aspek keselamatan dan statusnya sebagai ibu tunggal itu, graduan undang-undang ini begitu bersyukur kerana dilahirkan sebagai Khaidhirah Abu Zahar iaitu nama sebenarnya.

Sensitif dan tersentuh

Di sebalik sisi luarannya yang dinamik, ceria dan bertenaga itu, mungkin ramai tidak tahu pemuja motosikal berkuasa tinggi ini sebenarnya cukup sensitif dan mudah tersentuh.

Apabila melibatkan isu kanak-kanak dan kemanusiaan umpamanya, ibu kepada Tengku Anggun Deandra yang berusia dua tahun ini cukup tersentuh dengan penderitaan atau penindasan ke atas anak-anak kecil.

“Saya memang tidak boleh lihat, dengar atau baca isu penganiayaan atau kezaliman terhadap kanak-kanak. Kalau baca atau lihat kes pembuangan bayi atau penganiayaan kanak-kanak, saya boleh berubah menjadi begitu beremosi dengan sekelip mata.

“Saya sangat tidak faham kenapa manusia perlu menzalimi anak-anak kecil yang tidak berdosa? Mengapa tidak kita diami bumi ini dengan penuh kasih sayang?

“Mungkin kerana saya dibesarkan dalam limpahan kasih sayang dan perhatian secukupnya, saya juga ingin melihat anak-anak bumi ini menikmati proses kehidupan sebaik mungkin dan bukannya dizalimi,” katanya penuh pengharapan.

Cabaran kendalikan Melodi

Beralih ke arena pekerjaan, Dira yang menggantikan gandingan Fara Fauzana-Wahid (Senario) sebagai pengacara program hiburan Melodi di TV3 bermula hari ini mengakui debarannya kian memuncak.

Berpasangan dengan pengacara dan pelakon komedi Zizan (Raja Lawak), Dira berkata, penonton mempunyai harapan dan jangkaan tersendiri untuk melihat keberkesanan gandingan baru itu.

“Walaupun sudah lazim dengan bidang pengacaraan tetapi tugas untuk Melodi berbeza dan begitu penting buat saya.

“Kita sedia maklum kadar tontonan dan pengikut program ini tinggi. Sebagai hos baru, saya akui berdebar sama ada saya mampu menjalankan tugas itu dengan baik atau sebaliknya,” katanya.

Justeru itu, Dira senang untuk mempraktikkan formula mudah iaitu dengan menjadi dirinya sendiri sepanjang mengemudi program tersebut.

“Perbandingan dan respons penonton adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Sebagai orang baru, saya pasti tidak boleh mengelak daripada dua perkara itu.

“Strategi saya cukup mudah iaitu mengemudi program itu mengikut gaya dan cara saya. Hanya dengan menjadi diri sendiri sahaja orang akan menerima kita seadanya,” jelasnya yang sudah bersedia secara mental dan fizikal.

Aksi Dira dan Zizan mengacarakan Melodi boleh ditonton bermula 12.30 tengah hari ini pada setiap Ahad di TV3.

Foto NORAFIFI EHSAN Solekan & tatarias BABY ELLE & NADIA ELLE (012-3851486) Pakaian RED GARAGE BOUTIQUE, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur

Solekan & tatarias BABY ELLE & NADIA ELLE (012-3851486)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amy Search Terajui AF9

Artikel Lain