suria

Kampus Astro Tawar Kelebihan Untuk Murid UPSR

KUALA LUMPUR: Kampus Astro telah melancarkan ulang kaji Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di tiga buah saluran dalam empat jenis bahasa untuk membantu murid-murid di Malaysia menghadapi peperiksaan umum pertama mereka.

Menurut Ketua Pendidikan Astro, Yasmin Megat, ia merupakan saluran ulang kaji pelajaran yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana Tutor TV yang dilancarkan pada tahun lalu telah mencatatkan jumlah tiga juta penonton mengikuti saluran berkenaan menjelang peperiksaan.

"Bertitik tolak daripada sambutan yang amat menggalakkan tahun lalu, kami amat berbesar hati untuk memberikan tawaran yang lebih komprehensif pada tahun ini.

"Bukan satu tetapi tiga saluran iaitu Astro Tutor TV, Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil yang dipenuhi dengan penglibatan ulang kaji dan interaktif.

"Matlamat kami adalah untuk memberi kelebihan tambahan kepada murid-murid menjelang peperiksaan,” katanya.

Saluran Tutor TV, Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil ini adalah memenuhi tuntutan akademik di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) berdasarkan 100 peratus daripada sukatan pelajaran sekolah di Malaysia.

Merangkumi sembilan mata pelajaran dalam peperiksaan UPSR termasuk Bahasa Inggeris, Sains, Matematik serta Pemahaman dan Penulisan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

Murid-murid dari sekolah kebangsaan boleh menonton Astro Tutor TV yang menawarkan ulang kaji dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, murid-murid di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJK-C) dan Tamil (SJK-T) boleh memilih untuk mengulang kaji pelajaran dalam bahasa penghantar masing-masing di Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil.

Setiap satu saluran ini akan menonjolkan program ulang kaji UPSR dengan ciri-ciri holistik dan menghiburkan yang dipenuhi dengan contoh soalan peperiksaan, tip-tip dan pelbagai nasihat berguna untuk menghadapi peperiksaan.

Tambah Yasmin Megat, kandungan ini memberikan kelebihan samada kepada ibu bapa mahupun anak-anak di rumah.

"Sebenarnya kami amat menggalakkan ibu bapa untuk menonton dan membuat ulang kaji bersama-sama anak-anak mereka sebagai tanda sokongan yang boleh meningkatkan tahap keyakinan dan pengalaman belajar.

"Sebagai meneruskan komitmen Astro terhadap pendidikan, kandungan yang disediakan secara percuma kepada setiap sekolah kerajaan di Malaysia ini juga boleh digunakan oleh para guru sebagai alat bantu mengajar di bilik darjah,” katanya.

Program ini dibangunkan dengan sokongan panel guru yang berpengalaman dan direka untuk melengkapi pembelajaran bilik darjah.

Setiap tiga saluran ini mempunyai keunikan karektor animasi yang tersendiri dan direka untuk membantu murid-murid mengulangkaji pelajaran.

Astro Xiao Tai Yang akan menampilkan guru berbahasa Mandarin bernama Emily dan anak muridnya, Jay manakala Astro Vaanavil membawa Mr. Arivalagan dan anak muridnya Divya yang akan berbahasa Tamil.

Sementara saluran Astro Tutor TV, Cikgu Arif bersama-sama Ali dan Illa akan membuat ulang kaji yang menyeronokkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris .

Astro turut menggunakan teknologi digital untuk memantapkan proses pembelajaran dengan menawarkan ulangkaji UPSR melalui televisyen, dalam talian dan melalui aplikasi interaktif butang merah.

Murid-murid boleh meningkatkan waktu belajar mereka dengan menggunakan butang merah di saluran Tutor TV untuk menguji diri sendiri, kajian semula formula dan nota ringkas serta menghitung hari menjelang tarikh peperiksaan.

Kemudahan interaktif ini boleh didapati di www.astro.com.my/examtutor yang turut membolehkan murid-murid menjawab soalan-soalan kuiz dan menonton episod-episod yang ketinggalan.

Artikel Lain