suria

Tony Eusoff Belum Terdesak Untuk Kahwin

Tony Eusoff
Tony Eusoff
Tony Eusoff

PETALING JAYA: Aktor Tony Eusoff, 33, yang menjalin hubungan dengan aktres Dawn Marie Jeremiah, 28, (Dawn) sejak tiga tahun lalu mengakui belum terdesak untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Ujar Tony, walaupun umurnya sudah mencecah 30-an dan masih bujang, perkara itu langsung tidak merungsingkannya kerana memahami kesibukan mereka dengan komitmen kerja masing-masing.

"Entahlah, terus-terang saya pun tidak pasti bila hendak berkahwin? Kami tidak pernah berbincang tentang perkara itu kerana sibuk dengan kerja.

"Dia (Dawn) lebih sibuk daripada saya dan kerap berulang-alik dari Malaysia ke luar negara atas urusan kerja.

"Hakikatnya, kami jarang berjumpa kerana kesibukan masing-masing. Apatah lagi untuk merancang soal kahwin," katanya kepada mStar Online.

Bercerita tentang perhubungannya dengan Dawn yang kini berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran saluran LiTV Asia, Tony berkata, mereka cukup selesa menjalani hubungan yang ringkas dan terbuka itu.

Walaupun jarang berjumpa dan sering berjauhan, ia tidak sedikit pun menggugat kepercayaan mereka di antara satu sama lain.

"Hubungan kami cukup ringkas dan mudah. Tiada istilah perlu saling berhubung pada setiap masa.

"Kalau dia terpaksa bekerja ke luar negara selama beberapa hari, paling tidak pun kami hanya akan berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

"Atas dasar kepercayaan yang kami amalkan, kami tidak perlu mengongkong antara satu sama lain.

"Dia bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya, asalkan tahu menjaga batas dan begitu juga dengan saya," ceritanya.

Diusik pula mengenai reaksi ibu bapa mereka tentang hubungan tersebut, aktor yang baru sahaja terlibat dengan muzikal Terima Kasih Cinta itu berkata, baik ibunya mahupun keluarga Dawn begitu memahami kesibukan mereka dan tidak pernah mendesak tentang perkahwinan.

"Ibu saya seorang yang realistik dan memahami kerjaya saya dan Dawn. Dia tidak pernah sekalipun bertanya atau mendesak saya untuk segera berkahwin.

"Namun, saya percaya, ibu saya tetap berharap agar saya segera menamatkan zaman bujang. Jauh di sudut hatinya, tentulah dia teringin untuk menimang cucu," jelasnya dalam nada berseloroh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain