suria

Penyampai XFM Enggan Dedah Identiti ‘Brader Lev’

Penyampai XFM terdiri daripada Aimee (kiri), Shac, Shaz dan Nana. - Foto NORAFIFI EHSAN
Penyampai XFM terdiri daripada Aimee (kiri), Shac, Shaz dan Nana. - Foto NORAFIFI EHSAN
Penyampai XFM terdiri daripada Aimee (kiri), Shac, Shaz dan Nana. - Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Penyampai radio XFM enggan mendedahkan identiti ‘Brader Lev’ yang menjadi penyelesai masalah cinta untuk pendengar radio tersebut.

Ramai pendengar yang tertanya-tanya siapa gerangan sebalik insan yang hanya dikenali dengan nama ‘Brader Lev’ itu sejak ia dikeudarakan pada dua tahun lalu.

Stesen radio yang dikeudarakan pada tahun 2004 ini dikendalikan oleh empat penyampai iaitu Shaz, Aimee, Nana dan Shac.

“Kami tidak akan mendedahkan siapa gerangan ‘Brader Lev’ kerana semuanya menjadi rahsia penyampai dan pihak pengurusan XFM.

“Kalau ada yang nak minta tolong dari Brader Lev, boleh hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip BL jarak mesej atau masalah dan hantar ke 32399,” kata Shaz dan Nana ketika ditemubual.

Biarpun sasaran stesen radio ini bermula dari umur 18 hingga 25 tahun, namun tidak dinafikan pendengar berusia antara 30 hingga 50 tahun turut mendengar stesen radio itu.

Menurut Shaz atau nama sebenarnya Muhd Shazli Md Mukhtar yang mengendalikan segmen Ra’yat Pagi X pada pukul 6 hingga 10 pagi di samping Aimee, XFM mendapat maklum balas yang baik daripada pendengar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Kami mendapat tahu mereka menggemari lagu-lagu yang diputarkan yang popular pada masa kini.

“Memang kami lebih memfokuskan kepada golongan remaja tetapi tidak sangka pula apabila ada pendengar berusia antara 30 hingga 50 tahun turut mendengar XFM berdasarkan panggilan telefon yang dilakukan,” kata Shaz yang berkhidmat dengan XFM seawal stesen ini diperkenalkan pada 2001 dan waktu itu dikenali sebagai Xfresh.

XFM turut menjadi platform untuk bakat-bakat muda yang baru bertapak dalam industri muzik memperkenalkan muzik masing-masing.

Antara artis yang telah mendapat pendedahan awal melalui XFM termasuklah Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussain, Pesawat dan Ana Raffali.

“Kami membantu mempromosikan band indie dan artis tempatan kerana lagu-lagu mereka tidak mendapat tempat di stesen radio tempatan lain.

“Kami juga menjadi stesen radio pertama yang memutarkan lagu-lagu Bunkface. Terbaru, kami mempromosikan band Drama, Projek Pistol, Sam Kuman dan Under Highlight,” katanya yang telah 10 tahun bertugas sebagai penyampai radio.

Bermula 7 Mac ini, XFM akan menganjurkan ‘XFM Macbeth Secret Show’ yang melibatkan 10 persembahan akustik yang terhad kepada 100 pemenang bertuah dengan perlu menyertai peraduan tersebut.

Siapakah akan membuat persembahan? Jawapannya akan ditentukan oleh pendengar sendiri yang boleh mengundi penyanyi atau band pilihan masing-masing di www.xfm.com.my selama dua minggu.

Dengar isyarat XFM Macbeth Kuasa 2, kemudian pemanggil pertama perlu menyatakan tajuk serta nama penyanyi lagu tersebut. Pemenang akan memenangi dua jemputan khas ke 'XFM Macbeth Secret Show' di samping barangan Macbeth.

Selain itu, XFM akan memutarkan 1001 lagu terbaik yang telah diputarkan sejak tahun 2004 sehingga sekarang bermula 7 Mac ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain