suria

Nasihat Sohaimi Menerusi Lagu

DUNIA muzik ibarat jantung dalam hidup penyanyi tersohor Sohaimi Mior Hassan,54, walaupun kerjaya hakikinya adalah seorang jurutera.

Namun begitu, penyanyi yang popular demngan lagu Kalau Berpacaran (duet dengan Ana Raffali dan Altimet) ini, tidak sekali-kali akan meninggalkan kerjaya tetapnya itu apatah lagi dia sudah mempunyai sebuah syarikat sendiri iaitu Tele-infra Teknologi Sdn Bhd.

Syarikat itu bertanggungjawab ke atas pemeriksaan keselamatan merangkumi kejuruteraan awam, struktur, elektrik dan radiasi serta terlibat dalam bidang pengauditan keselamatan pihak ketiga.

Setakat ini, Tele-Infra telah mendapat kontrak bagi melaksanakan audit keselamatan tahunan ke atas semua menara dan struktur komunikasi di beberapa negeri iaitu Perak, Kedah, Melaka dan Johor.

“Selain bidang muzik, saya juga bekerja sebagai jurutera dan mengendalikan syarikat sendiri. Pada tahun 1976 hingga tahun 1980, saya pernah mendapat biasiswa dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menyambung pelajaran di Portsmouth, United Kingdom dalam bidang kejuruteraan yang menumpu perhatian kepada radar dan radio,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan ketika ditemu bual Mingguan mStar.

Rancak berbual tentang kerjaya tetapnya yang dilakukan secara serius sejak tahun 2004 itu, bapa kepada tiga orang anak ini tidak lupa untuk bercerita tentang kemunculan album kelimanya berjudul Kalau Berpacaran… The Album yang telah berada di pasaran.

Menurutnya, album yang diterbitkan oleh syarikatnya itu dihasilkan dengan menggunakan modal sendiri hasil kerjasama dengan pemuzik Greg Henderson. Secara keseluruhannya, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk merakam album yang memuatkan 13 buah lagu itu.

“Sebanyak sembilan buah lagu baru yang dimuatkan dalam album itu manakala dua buah lagu lagi merupakan lagu lama iaitu Ros dan Epilog Cinta (Epilog Cinta Dari Bromley).

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan album ini kerana semua material telah lama dicipta oleh saya. Misalnya lagu Seru telah dicipta pada tahun 1975 tetapi dirakam semula dan ditukar kepada lirik baru.

“Cuma lagu Kalau Berpacaran dicipta oleh saya ketika program “Cipta Ekspres” yang dianjurkan oleh Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) di Port Dickson pada tahun lalu,” ujarnya yang mengaspirasikan kumpulan Deep Purple dalam gubahan lagunya.

Menariknya, lagu Kalau Berpacaran yang kini hangat diputarkan di radio menduduki tempat pertama stesen radio seperti Suria FM dan Era FM adalah ilhamkan Sohaimi ketika sedang memandu kereta dan ia mampu disiapkan dalam masa setengah jam.

Lagu tersebut juga diumumkan sebagai Lagu Terbaik oleh MACP ketika program Cipta Ekspres dan merupakan lagu paling cepat digubah olehnya.

“Ana Raffali hanya mengubah dua perkataan dalam lirik lagu tersebut iaitu perkataan ‘ibu bapa’ kepada ‘ayah mama’ dan ‘senjata’ kepada ‘perisai’.

“Saya mencipta lagu tersebut khas untuk anak-anak dan sesiapa sahaja yang sedang bercinta. Lagu itu turut mengingatkan saya untuk sentiasa menasihati anak-anak supaya menjaga batasan dalam pergaulan.

“Saya selalu mengingatkan mereka agar menjadikan agama sebagai panduan dalam melakukan setiap perkara,” jelasnya yang mempunyai tiga anak perempuan.

Anak-anak Sohaimi ialah Syaida Syarafina, 25, Syaza Sorfina, 23, dan Syaima Sabila, 20, hasil perkahwinannya dengan Rosdina Hashim, 53, pada tahun 1986.

Sohaimi bersyukur kerana rumah tangganya harmoni dan hubungan dengan isteri masih berkekalan sehingga sekarang.

Petuanya mudah, setiap kali selepas solat berjemaah dengan isteri, pasti dia akan memohon maaf kepada isteri antara satu sama lain.

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar rumah tangga saya kekal sehingga ke akhir hayat. Walau apa pun yang berlaku sama ada ‘perang’ besar atau kecil dalam rumah tangga, selepas solat kita kena bermaaf-maafan.

“Selain itu, saya mengamalkan solat berjemaah dengan isteri. Insya Allah, rumah tangga akan kekal bahagia walaupun dilanda banyak ujian,” akhirinya yang turut mengamalkan petua tidak minum ais dan merokok untuk menjaga suaranya.

Perkembangan terbaru, Sohaimi dijangka akan menjayakan sebuah teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa mulai 1 Jun ini selama 10 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Air Mata Fran di Istana Budaya

Artikel Lain