Konsert Tiga Kumpulan Rock Jelajah Luar Bandar - Hiburan | mStar

Konsert Tiga Kumpulan Rock Jelajah Luar Bandar

Mus, penyanyi kumpulan May
Mus, penyanyi kumpulan May

PETALING JAYA: Konsert jelajah yang diberi nama Triple Malaysia In Concert akan menemui masyarakat luar bandar sekitar Semenanjung dalam Karnival Gegar Rock Retro bermula 5 Mac depan.

Konsert yang menampilkan tiga kumpulan rock terkenal tanah air iaitu kumpulan May, Amuk dan juga XPDC akan dipersembahkan kepada peminat di empat lokasi terpilih yang mewakili zon Selatan, Barat, Utara dan Timur .

Dataran Masyarakat Gemencheh, Negeri Sembilan yang mewakili zon Selatan akan menjadi lokasi pembuka tirai konsert ini.

Menerusi siri jelajah itu, kumpulan-kumpulan rock terbabit juga akan membuat persembahan di tiga negeri lain seperti Pahang, Pulau Pinang dan Selangor.

"Salah satu objektif utama konsert ini adalah untuk mengangkat kembali muzik rock 80-an yang sebenarnya masih mempunyai ramai peminat terutamanya di luar bandar," jelas Mohd Asri Ramli, pengarah urusan syarikat penganjur, Triple Trouble Entertainment.

"Konsert ini adalah merupakan konsert dalam karnival di mana pelbagai agensi kerajaan akan membuka gerai pameran yang dapat dilawati para pengunjung. Ia juga diharapkan dapat memberi informasi yang berfaedah kepada mereka yang rata-rata terdiri daripada golongan belia," tambahnya.

"Ini juga merupakan salah satu cara kami untuk mengetengahkan imej positif rock kapak yang sering disalah anggap sejak zaman kegemilangan lagi," kata Asri.

Selain gerai pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pelbagai gerai jualan yang diusahakan oleh usahawan-usahawan belia tempatan juga akan dibuka di karnival tersebut.

Tiket konsert berharga RM50 boleh didapati di pejabat urusan Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) dan juga di kedai muzik di kawasan konsert diadakan.

Artikel Sebelum

Kamal Adli Merungut Dapat Bayaran 'Ciput'

Artikel Berikut

Peluang Muncul Dalam Klip Video DynDa

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Rakyat Pahang terima Sultan baharu