suria

Hadiah Pertunangan Noh (Hujan)

Mohammed Noh Salleh.
Mohammed Noh Salleh.
Mohammed Noh Salleh.

KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Mohammed Noh Salleh (Noh) menganggap anugerah Komposer Muda Berpotensi (25 tahun ke bawah) yang dimenanginya di Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 pada Jumaat lalu sebagai hadiah pertunangannya.

Noh yang bertunang dengan Mizz Nina atau Shazrina Azman pada 6 November lalu turut meraikan kemenangannya pada malam itu di samping bakal isterinya.

“Saya memang tak jangka dengan kemenangan ini kerana MACP terdiri daripada komposer nama-nama besar.

“Jadi, saya rasa sangat dihargai dan terharu dengan rezeki ini,” katanya pada sidang media di Hotel Crown Plaza, di sini.

Noh pada mulanya menjangkakan Aizat Amdan yang akan memenangi anugerah tersebut berdasarkan pencapaian yang dilakukan sebelum ini.

Walaupun begitu, dia akui tetap mengagumi bakat yang dimiliki oleh penyanyi dan komposer berusia 20 tahun itu.

Bercerita tentang rahsianya bergelar seorang komposer sebelum ini, penyanyi lagu Kau Harus Ada, Bila Aku Sudah Tiada dan Mencari Konklusi ini akui setiap lagu yang digubah atas kehendaknya sendiri.

“Sebagai komposer, saya tak pernah letakkan diri ini dalam situasi yang kena sentiasa melakukan perubahan sebaliknya saya juga perlu menjadi seorang pendengar kepada lagu sendiri.

“Daripada situ, baru saya dapat menikmati lagu itu sepenuhnya. Jadi, sebab itu saya buat lagu berdasarkan apa yang saya rasa. Sebagai pemuzik, saya tak boleh hadkan kreativiti dan tidak dinafikan, komposer nama besar banyak dijadikan sebagai pendorong,” katanya yang pertama kali memenangi anugerah daripada MACP.

Di sebalik kemenangannya itu, Noh terpaksa akur kepada kekalahan dua buah lagunya iaitu Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap dalam kategori Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak.

Kategori tersebut dimenangi oleh lagu Buronan Cinta (The Lima/Edry Abdul Halim).

“Lagu Buronan Cinta memang kuat dan saya tak rasakan lagu-lagu saya layak untuk menang anugerah itu,” jawabnya.

Katanya lagi: “Saya akui, saya bukanlah vokalis yang teknikal dan melakukan sekadar yang termampu. Misalnya, saya rasa dihargai apabila Monoloque mengajak saya sama-sama menyanyikan lagu Pelita di bawah projek API.”

Selepas kemenangan ini, Noh berjanji akan lebih banyak menghasilkan lagu-lagu untuk industri muzik tempatan.

“Album baru saya baru diterbitkan baru-baru ini dan Dimas banyak membantu promosi secara konsisten. Saya pula sudah mula menumpukan kepada album akan datang,” ujarnya.

Album Lonely Soldier Boy edaran Warner Music Malaysia itu memuatkan 14 buah lagu termasuklah lagu Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Bagaikan Matahari dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Selebriti Jual Kek Coklat

Artikel Lain