suria

Jamil Sulong Perlu Dikenang

KETIKA kita meraikan bulan memperingati perjuangan Tan Sri P.Ramlee yang disambut sepanjang Oktober ini, kita juga tidak harus lupa terhadap perjuangan Datuk Jamil Sulung (gambar) yang sememangnya begitu rapat dengan seniman Agung itu.

Tanpa disedari, Jamil yang suatu ketika dahulu bekerja sebagai penterjemah di Malay Filem Production pernah menghasilkan lagu dan lirik yang dinyanyikan oleh P.Ramlee seperti Berkorban Apa Saja, Azizah, Anak Ku Sazali, Tiada Kata Secantik Bahasa, Tiru Macam Saya dan Merak Kayangan.

Populariti lagu-lagu itu berjaya menaikkan nama P.Ramlee dan filem-filem yang memuatkan lagu berkenaan.

Sayangnya ketika lagu-lagu itu berkumandang, ramai yang tidak menyedari lirik dan lagu yang penuh puitis tersebut adalah hasil nukilan Jamil.

Malah, hubungannya yang rapat dengan P.Ramlee membuatkan Seniman Agung itu mempercayai karya-karya Jamil untuk diterjemahkan dalam filem-filem arahan P. Ramlee sendiri.

Jamil pernah meluahkan kesedihan apabila orang lebih mengenali P.Ramlee berbanding karya yang beliau hasilkan.

Mungkin kerana populariti P.Ramlee membuatkan orang ramai menyangka lagu-lagu itu adalah hasil ciptaan seniman agung itu tanpa mengetahui ia sebuah karya bermakna daripada seorang yang bernama Jamil Sulung.

Walau bagaimanapun tiada siapa yang melupakan Jamil kerana ketika menjangkau usia 84 tahun, beliau yang agak uzur ketika ini tetap diingati apabila Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menganjurkan Malam Legenda Perdana, Tiada Kata Secantik Bahasa di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada Ogos lalu.

Ia diadakan bagi memperingati jasa Jamil selama penglibatannya kira-kira 60 tahun dalam bidang seni.

Keadaan dirinya yang sudah uzur itu tidak langsung menyekatnya untuk berkarya sehingga dia mampu menghasilkan sebuah buku Warisan Dan Wawasan yang memuatkan kisah-kisah menarik sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Dengan terhasilnya buku itu, Jamil berasa amat tenang kerana segala perasaannya dapat diluahkan dalam bentuk naskhah yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

Katanya, sebagai anak seni memang banyak cabaran tetapi jika seseorang itu telah memilih untuk terlibat dalam bidang seni, mereka harus menempuh segala pahit maungnya.

Sepanjang aktif sebagai pengarah, Jamil telah menghasilkan 17 buah filem. Filem terkahirnya ialah Raja Melewar, diterbitkan pada 1998 yang turut dibintangi oleh Eizlan Yusof, Saharuddin Thambi, Norish Karman dan Aziz Jaafar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain