suria

"Mr. Mama" Kembali Hangatkan TV3

PETALING JAYA: Drama komedi, Mr. Mama (gambar) kembali bersiaran di TV3 untuk musim ketiga pada 3 November ini, setiap hari Rabu, pukul 10 malam.

Setelah diperkenalkan pada tahun 2008, drama tersebut berjaya mencuri perhatian para penonton apabila berjaya mencecah rating paling tinggi sebanyak 2.65 juta.

Masih mengekalkan Arash Mohd sebagai pemegang watak utama bernama Badrul ataupun Mr. Mama, drama bersiri 13 episod terbitan Radius One Sdn Bhd itu turut membariskan pelakon-pelakon popular lain seperti Jasmine Ashraff (Suria), Syainie Aida (Aliya), Muhammad Syahmi (Alif) dan Muhammad Naim Daniel (Afif).

Diarahkan oleh Heykal Hanifah drama Mr. Mama 3 ini diserikan dengan karenah keluarga Badrul yang mencuit hati.

Mr. Mama 3 mengisahkan kehidupan Badrul yang sibuk dalam urusan rumah tangga sementara isterinya, Suria seorang wanita berkerjaya yang amat komited terhadap kerjanya.

Untuk musim ini, ia menceritakan bagaimana suasana rumah Badrul menjadi tegang apabila ibu Badrul, Mak Ude datang melawat dari kampung.

Suria menjadi resah. Dia sering bergaduh dengan Mak Ude kerana berbeza pendapat.

Keadaan menjadi keruh apabila Mak Ude beria-ia memberikan petua tradisional kepada Badrul dan Suria bagi membahagiakan rumah tangga mereka. Badrul amat tertekan dengan perselisihan faham antara ibu dan isterinya.

Akhirnya, Mak Ude mengundur diri dan berjanji akan melawat mereka apabila mempunyai masa lapang.

Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, pihaknya peka dengan permintaan penonton dan juga situasi semasa, dimana ada para suami yang menjadi suri rumah membantu isteri.

“Atas permintaan ramai Mr. Mama kembali dengan jalan cerita yang lebih segar dan menarik. Drama bersiri Mr. Mama juga pernah dianugerahkan sebagai Drama Komedi Terbaik Anugerah Skrin 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Lain