suria

Filem "Magika" Kuasai Pencalonan FFM23

Barisan finalis dan pengacara malam anugerah yang hadir pada majlis sidang media pengumuman Malam Perasmian, Malam Anugerah dan Top 5 FFM23 di SACC, Khamis. - Foto oleh SAM THAM
Barisan finalis dan pengacara malam anugerah yang hadir pada majlis sidang media pengumuman Malam Perasmian, Malam Anugerah dan Top 5 FFM23 di SACC, Khamis. - Foto oleh SAM THAM
Barisan finalis dan pengacara malam anugerah yang hadir pada majlis sidang media pengumuman Malam Perasmian, Malam Anugerah dan Top 5 FFM23 di SACC, Khamis. - Foto oleh SAM THAM

SHAH ALAM: Filem Magika terbitan KRU Studios mengungguli senarai pencalonan akhir Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) apabila menerima 12 pencalonan daripada 21 kategori yang dipertandingkan kali ini.

Filem muzikal fantasi arahan Edry Abdul Halim itu menerima pencalonan dalam beberapa kategori utama termasuk Filem Komedi Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

17 lagi judul filem cereka yang bertanding iaitu filem Santau (arahan Azhari Zain) menerima 11 pencalonan dan diikuti oleh filem komedi 1Malaysia arahan Mamat Khalid iaitu Estet dengan lapan pencalonan.

Sementara itu, filem Belukar (Jason Chong), Evolusi KL Drift 2 (Syamsul Yusof), Haq (Hor Chee Leong), Lagenda Budak Setan (Sharad Sharan) dan V3: Samseng Jalanan (Farid Kamil) mendapat tujuh pencalonan.

Filem arahan Ahmad Idham iaitu Niyang Rapik menerima enam pencalonan, Pisau Cukur (Bernard Chauly) (4), My Spy (Afdlin Shauki), Adnan Sempit (Ahmad Idham) dan Pulau Asmara (Uttam Kumar Thangiah) berkongsi tiga pencalonan, Jin Notti (Azhari Zain) (dua pencalonan) dan Dua Alam (Zarith Lokman), Hooperz (Rosihan Zain), Kapoww (Azizi Adnan) dan Karaoke (Chris Chong) masing-masing dengan satu pencalonan.

Keputusan untuk 12 kategori Anugerah Cipta yang dipertandingkan termasuk anugerah Filem Komedi Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-kanak Terbaik dan Poster Terbaik bakal disampaikan pada malam perasmian FFM23, pada 20 Oktober ini.

Keputusan 12 kategori Anugerah Perdana seperti anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik pula bakal diketahui pada malam kemuncak festival itu.

Selain itu, malam kemuncak FFM23 juga bakal mengiktiraf anugerah Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, lima anugerah khas juri dan anugerah khas untuk kategori box office, belakang tabir serta pelakon lelaki dan wanita veteran.

Senarai finalis bagi kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik yang tidak diumumkan pada majlis sidang media pada Khamis hanya akan diumumkan pada malam anugerah nanti.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim, senarai finalis dua kategori utama itu tidak dapat diumumkan kerana jawatankuasa penjurian masih belum mempunyai senarai akhir bagi kedua-dua kategori itu.

“Dua kategori iaitu Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik tidak dapat diumumkan kerana panel juri masih belum memberikan kami senarai finalis untuk kedua-dua kategori itu.

“Berkemungkinan besar Finas akan umumkan senarai akhir untuk dua kategori itu dalam masa terdekat selepas kami menerimanya daripada jawatankuasa penjurian atau kita simpan dan buat kejutan pada malam anugerah sahaja nanti,” katanya.

Malam Perasmian FFM23 pada 20 Oktober ini akan di adakan di Centre Atrium e@Curve Damansara, Selangor turut menyaksikan penyampaian 12 Anugerah Cipta.

Lebih menarik tayangan perdana dua buah filem yang bertanding tetapi belum ditayangkan di pawagam iaitu Estet dan Dua Alam juga akan ditayangkan.

Malam kemuncak FFM23 yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 24 Oktober ini bakal menampilkan tema persembahan berbentuk Teaterikal Malaysia dengan tema mengangkat filem Malaysia ke persada antarabangsa.

Festival yang masih mengekalkan tema Filem Malaysia ke Persada Dunia ini dijangka meriah dengan gandingan pelakon Sharifah Shahirah, pelawak Zizan dan hos RTM Hezrie Hashim.

Malam kemuncak FFM23 bakal disiarkan menerusi RTM1 dan Astro Prima (saluran Astro 105) pukul 8.30 malam.

Artikel Sebelum

Yalal Chin Selamat Dikebumikan

Artikel Berikut

Artikel Lain