suria

Ditangkap Khalwat, Pengacara "Bang Bang Boom" Sedia Terima Hukuman

Azahari (kiri) bersama Amat, pengacara program Bang Bang Boom! di majlis pelancaran musim keenam program tersebut di Sri Pentas TV3, Khamis. - Foto oleh M AZHAR ARIF
Azahari (kiri) bersama Amat, pengacara program Bang Bang Boom! di majlis pelancaran musim keenam program tersebut di Sri Pentas TV3, Khamis. - Foto oleh M AZHAR ARIF
Azahari (kiri) bersama Amat, pengacara program Bang Bang Boom! di majlis pelancaran musim keenam program tersebut di Sri Pentas TV3, Khamis. - Foto oleh M AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pengacara program Bang Bang Boom!, Ahmad Azahari Mohamad Ali, 27, bersedia menerima hukuman daripada Mahkamah Rendah Syariah Kajang berhubung kes khalwat melibatkan seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah apartmen di Ampang, dua minggu lalu.

Dia yang telah dipanggil untuk disoal siasat pada 4 Oktober lalu dan sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Saya mengaku saya berada di tempat kejadian dan ini merupakan satu kesilapan saya.

“Kes tersebut dijangka akan dibicarakan pada tahun hadapan. Saya juga telah memberikan keterangan di mahkamah dan bersedia menerima apa sahaja hukuman dan denda yang dikenakan selepas ini,” katanya ketika sidang media program Bang Bang Boom! musim keenam di Sri Pentas TV3, di sini, Khamis.

Ekoran daripada itu, Azahari turut memohon kepada penonton supaya sentiasa memberikan sokongan kepada program Bang Bang Boom! dan mengetepikan masalah yang di hadapinya itu.

Malah dia juga mampu menghadapi kes tersebut dengan baik tanpa mempengaruhi karier seninya.

“Saya harap penonton dapat membezakan antara soal peribadi saya dan rancangan yang saya kendalikan, Bang Bang Boom!. Saya mahu penonton terus menonton dan memberikan sokongan kepada Bang Bang Boom!.

“Saya akui pertama kali melalui saat seperti ini dan menjadikan ia sebagai satu pengajaran serta lebih berhati-hati lagi selepas ini. Kes ini merupakan yang pertama dan pastinya yang terakhir dalam hidup saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerbit program tersebut, Tengku Mohd Ismail Tengku Ibrahim berkata pihak produksi masih memerlukan khidmat Azahari pada masa akan datang dan tiada tindakan yang diambil walaupun insiden tersebut sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya.

“Saya akui apabila soal kerja, kita tidak akan campurkan hal peribadi dan fokuskan tentang kerja. Lagipun, Azahari tiada masalah dengan kami. Jadi, kami hormati setiap masalah yang berlaku melibatkan peribadinya,” jelasnya.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, pengacara itu mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama sebaliknya hanya membantu mengemas barang di rumah wanita itu yang mahu ke Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel Sebelum

Yalal Chin Selamat Dikebumikan

Artikel Berikut

Artikel Lain