suria

Sharifah Abu Salem Tak Kering Idea Bikin Skrip & Novel

Sharifah Abu Salem (kiri) bersama Raja Alawiyah di majlis rumah terbuka di Taman Hillview, Ampang, Jumaat. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Sharifah Abu Salem (kiri) bersama Raja Alawiyah di majlis rumah terbuka di Taman Hillview, Ampang, Jumaat. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Sharifah Abu Salem (kiri) bersama Raja Alawiyah di majlis rumah terbuka di Taman Hillview, Ampang, Jumaat. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

NAMA novelis Sharifah Abu Salem bukanlah nama yang asing dalam dunia penulisan. Lebih-lebih lagi di kalangan kaki novel yang pernah membaca karyanya seperti Salam Taj Mahal, Tak Seindah Mimpi, Pesona Rindu dan Janji Diana.

Kini, dia bukan sahaja dikenali sebagai novelis, malah namanya semakin masyur sebagai penulis skrip drama-drama tempatan yang menghiasi kaca televisyen. Dsebabkan kerjanya tertumpu kepada penulisan sepenuh masa, jadi idea untuk membikin skrip dan novel tidak pernah kering.

“Saya tidak putus berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan segala kerja. Selain itu, saya banyak melakukan kajian dan membaca kerana sesetengah dialog memerlukan fakta.

“Idea datang tidak menentu dan sentiasa ada untuk saya membuat skrip dan novel. Alhamdulillah,” katanya kepada mStar Online ketika majlis terbuka Hari Raya Aidilfitri di rumah penerbit Raja Alawiyah Raja Idris di Taman Hillview, Ampang, Jumaat.

Bermula daripada menulis skrip drama radio pada usia 16 tahun, Sharifah semakin menjadi buruan ramai penerbit drama.

Sebut sahaja drama Asmara, Nenek Kebayan, Gelora Di Hati Sara 1 & 2, Isabella, Kasih, Rahsia Demi Rahsia, Cik Yah Balik Kampung, Julia, Anakku Nik Aziz, dan Misteri Karina, semua skrip drama tersebut ditulis olehnya.

Terbaru, dua buah drama yang diadaptasi daripada novel-novelnya berjudul Biar Rindu Berlalu dan Trilogi Cinta sedang menjalani proses penggambaran.

Drama Biar Rindu Berlalu yang diadaptasi daripada novel berjudul yang sama itu diterbitkan oleh Bright Network Sdn Bhd manakala drama Trilogi Cinta diadaptasi daripada novel Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi yang diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Editor Kanan di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd itu akui permintaan novel untuk diadaptasi sangat tinggi. Setakat ini, sebanyak 14 buah novel tulisannya yang dijadikan adaptasi untuk drama.

Walaupun sibuk menulis skrip, dia tetap meluangkan masa untuk menulis novel. Cuma fokus utamanya lebih diberikan kepada penulisan skrip.

Ini kerana dia hanya perlu menghasilkan dua buah novel dalam masa setahun jika mengikut kontraknya dengan syarikat penerbitan Alaf 21.

Sharifah pernah mengikuti kursus intensif penulisan kreatif dan kewartawanan di Universiti Sains Malaysia (USM) sesi 82/83 di bawah bimbingan Dr Fatimah Busu, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Pada Julai lalu, dia menerima Anugerah Khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai lalu kerana karyanya mencatat jualan hampir 1 juta naskhah.

Selain itu, dia juga merupakan penerima anugerah Gold Club oleh Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd pada April lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bienda Masih Berahsia

Artikel Lain