suria

Raja Alawiyah Elak Bahasa Slanga Dalam Filem & Dramanya

Sharifah Abu Salem (kiri) bersama Raja Alawiyah di majlis rumah terbuka di Taman Hillview, Ampang, Jumaat. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Raja Alawiah Raja Idris (kanan) dan Sharifah Abu Salem di majlis rumah terbuka dan memperkenalkan artis drama bersiri Biar Rindu Berlalu. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Raja Alawiah Raja Idris (kanan) dan Sharifah Abu Salem di majlis rumah terbuka dan memperkenalkan artis drama bersiri Biar Rindu Berlalu. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

PENERBIT filem dan drama Raja Alawiyah Raja Idris mengelak daripada menggunakan bahasa slanga dalam filem dan drama terbitan syarikatnya, Bright Network Sdn Bhd.

Misalnya penggunaan perkataan 'awak-awak' dan 'wak' yang diambil daripada perkataan awak tidak pernah diamalkan.

"Saya tak boleh mendengar bahasa yang tidak tepat kerana saya memperjuangkan bahasa Malaysia.

"Apabila sesuatu drama itu tidak mengikut piawai bahasa, saya akan meminta pengarah buat penggambaran semula," katanya ketika majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Taman Hillview, Ampang, Jumaat.

Selain itu, penerbit drama Dari Mata Arisa dan Kasih ini juga tidak dapat menerima penggunaan bahasa slanga lain yang menjadi kebiasaan anak muda zaman kini seperti 'awek' dan 'cun'.

Dia juga tidak gemar penggunaan singkatan nama seperti Aishah kepada Chah.

"Drama adalah harta kita. Saya suka mengambil contoh drama Indonesia yang menggunakan piawai bahasa mereka.

"Saya tak nak anak-anak bercakap bahasa slanga kerana pertuturan anak bermula dari didikan di rumah.

"Saya bukan berdakwah, tetapi nama panggilan seseorang itu adalah suatu doa," ujarnya lagi.

Majlis tersebut turut diadakan untuk sidang media drama 26 episod Biar Rindu Berlalu yang diadaptasi dari novel Sharifah Abu Salem dan arahan Feroz Abd Kader.

Drama lakonan Nanu Baharudin, Esma Daniel, Mahmud Ali Bashah, Linda Hashim dan Erin Malik tersebut akan disiarkan di TV2 pada awal tahun depan.

Biar Rindu Berlalu mengisahkan tentang perjuangan Samirah dalam menguruskan perniagaan milik arwah suaminya yang terkorban dalam nahas kemalangan udara 15 tahun lalu dan membesarkan tiga orang anak mereka.

Samirah terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian apabila pekerja lama disyarikatnya, Helmi mengkhianatinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bienda Masih Berahsia

Artikel Lain