suria

Jasmine Soraya (Gadis Melayu) Mengacara ‘Auto’

BEKAS peserta Gadis Melayu musim kedua dengan nama penuh Sharifah Jasmine Soraya Syed A Jalil Jamalullail, 22, ini dipilih sebagai pengacara program terbaru ‘Auto’ di TV3 yang akan disiarkan mulai Ahad ini, 3 Oktober, pukul 5 petang.

Terlibat dalam program berkonsepkan info tentang kereta sebanyak 13 episod itu memberikan fasa baru selepas menyertai program realiti di TV9 itu pada tahun lalu.

“Saya telah menjalani rakaman program ini di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baru. Dalam setiap episod saya akan tampil dengan sebuah kereta. Selain memberikan info tentang kereta dan penjagaannya, saya juga berpeluang memandu uji kereta-kereta baru dan mewah seperti Porsche Panamera, Nissan Extreme dan Volvo.

“Saya rasa sangat seronok apabila dapat mencuba kereta-kereta tersebut kerana saya memang meminati kereta. Selain itu, banyak pengetahuan yang saya pelajari dalam program ini,” katanya yang mempunyai lesen memandu sejak berusia 17 tahun.

Dalam perkembangan lain, Jasmine juga sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan Pengurusan Media di Kolej Universiti Taylor dan pada tahun hadapan dia akan menyambung pengajiannya di Australia.

Setakat ini, Jasmine ‘masih hijau’ dalam bidang pengacaraan dan tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk bergelar pelakon pada suatu masa nanti.

Tetapi biarlah dia menamatkan pengajiannya terlebih dahulu sebelum melangkah ke bidang pekerjaan yang lebih serius.

“Insya-Allah, siapa tahu saya akan berlakon nanti. Tetapi buat masa ini kerja bukanlah keutamaan saya. Saya cuma fikir untuk menghabiskan pengajian sahaja.

“Mana tahu saya hanya bekerja di pejabat sahaja selepas ini seperti dalam bidang perhubungan awam dan dunia korporat,” ujarnya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain